'Nama peminjam kami tidak kenal tapi rumah disimbah cat'

'Nama peminjam kami tidak kenal tapi rumah disimbah cat'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis sedang mengenal pasti individu yang disyaki terbabit dalam insiden khianat menyimbah cat merah pada pagar dan kenderaan di sebuah rumah dekat Jalan Yahya Awal, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 10.42 malam, Selasa lalu.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

“Mangsa yang juga jururawat lelaki berusia 33 tahun menyedari rumahnya dibaling cat pada jam 9.32 malam ketika dia tiba di rumah.

“Mangsa melaporkan bahawa pintu pagar rumahnya serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik ayahnya telah disimbah dengan cat merah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, turut ditemui di tempat kejadian adalah sekeping kertas putih dengan mesej bertulis: ‘Kumarsingam A/L Kamalanathan, This Is My Last Warning’

Katanya, mangsa menafikan terbabit dalam sebarang pinjaman wang dengan mana-mana along dan memaklumkan tinggal di kediaman itu selama 30 tahun.

“Ketika kejadian, mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah. Siasatan awal di lokasi mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi awam yang menyaksikan kejadian.

“Kita juga sedang menyiasat dua nombor telefon yang berkaitan dengan kejadian ini dan sedang mengesan individu terbabit,” katanya.

Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, tular satu hantaran di Facebook oleh pengguna bernama Afzan Mohd Arif yang mendakwa rumah mentuanya menjadi mangsa kegiatan sindiket pinjaman wang walaupun mereka sekeluarga tidak pernah berhutang.

“Ada ugutan dan nama peminjam yang mana kami tidak kenal pun. Nama dalam nota itu langsung bukan nama sesiapa dalam keluarga kami kerana si penghutang itu berbangsa India.

“Tidak ada sesiapa yang kenal dengan individu yang disebutkan. Dalam nota itu dia tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi,” tulisnya.

Afzan mendakwa, isterinya kemudian cuba menghubungi nombor telefon diberikan bagi mendapatkan penjelasan sebelum individu dikenali sebagai Darren memaklumkan orang sekeliling yang menunjukkan rumah itu apabila ditanyakan tentang alamat diberi.

“Apabila isteri tanya siapa nak bayar (ganti rugi) yang mana isteri minta jumlah RM5,000, mereka kata majikan suruh bayar dulu SGD1,000 bagi ‘bersihkan’ nama dari sistem dan kemudian mereka akan bersihkan cat merah pada pagar, cat semula kereta dan tukar tayar baharu.

“Mereka kata kalau tidak bayar, mereka akan bakar rumah,” dakwanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top