MOT, KPDN bincang haram penjualan 'dummy buckle'

MOT, KPDN bincang haram penjualan 'dummy buckle'

H: MOT, KPDN bincang haram penjualan ‘dummy buckle’

Norzamira Che Noh

am@hmetro.com.my

Foto Bernama

Klang: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung penjualan serta penggunaan alat penyah aktif penggera tali pinggang keledar atau ‘dummy buckle’.

Menterinya Anthony Loke berkata, perbincangan itu akan melihat dari sudut penguatkuasan berikutan trend penjualan alat berkenaan dilihat berleluasa dan menyalahi peraturan.

“Penggunaan dummy buckle memang tidak dibenarkan, bagaimanapun penguatkuasaan (bagi penjualan) bukan di bawah kementerian ini, sebaliknya KPDN.

“Kita akan adakan perbincangan dengan KPDN untuk haramkan penjualan dummy buckle itu,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Peluncuran Malaysia Maritime Single Window (MMSW), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik kenderaan menggunakan alat berkenaan berikutan kebanyakan kenderaan baharu mempunyai pengesan (sensor) yang akan berbunyi jika pemandu dan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar.

Katanya, ia tetap melanggar peraturan dan berbahaya kepada keselamatan pengguna.

“Seperti yang selalu saya katakan dan tegaskan bahawa pakai tali pinggang ini bukan sebab ada peraturan, tetapi keselamatan untuk melindungi pemandu dan penumpang terutamanya di bahagian hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata, larangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkaitan penggunaan soket 3-pin dan USB dalam bas ekspres masih berkuat kuasa sehingga polisi serta garis panduan pendawaian tambahan baharu dikeluarkan.

“Standard piawaian pemasangan kabel dan soket dalam bas sedang dibangunkan Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM Berhad yang dijangka siap Mei tahun ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top