mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sebenarnya memang saya dah rancang, saya akan berdiri atas pentas dan menyanyi dekat situ saja,” kata Nadeera mengulas cara pemakaian yang dikatakan membataskan pergerakannya di atas pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), malam kelmarin.
Nadeera yang juga pemenang tempat kedua AJL39 menerusi lagu Bukan Lagi Kita berkata, perancangan sudah dibuat dari awal dan dia hanya berada pada satu tempat sehingga persembahannya selesai.
“Alhamdulillah, apa yang saya rancang menjadi. ‘Veil’ (kain) itu jatuh atas muka saya, tepat pula. Kami sebenarnya tak cukup masa dan hanya berlatih tiga kali.
“Sebenarnya apa yang berlaku malam itu paling sempurna dan menakjubkan. Syukur semuanya dipermudahkan.
“Saya juga diuji dengan isu negatif pada saat akhir. Isu-isu itu saya tak ambil pusing pun. Ia bukan benda penting pun. Saya memang fokus pada AJL dari segi persiapan dan sebagainya,” katanya.
Nadeeera juga bersyukur keluarga dan juga pasukannya banyak membantu memberi kerjasama.
“Bagi saya perjuangan mereka amat besar. Apa yang terjadi semuanya atas pertolongan Allah.
Kalau nak diikutkan saya memang agak risau. Apa yang saya cuba sampaikan bergantung kepada Allah sahaja. Kalau veil tak jatuh tepat pada sasaran pun saya reda saja,” katanya.
Tahun lalu menyaksikan Nadeera hampir beraksi pada pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 menggantikan Ernie Zakri, bagaimanapun tidak kesampaian.
“Ini kemunculan pertama. Dulu hampir-hampir. Iyalah saya dah lama mengidamkan. Impian saya untuk masuk AJL. Ini bukti kalau kita tak berputus asa. Kita yakin kuasa Allah itu, insya-Allah.
“Selain Hael, saya boleh bekerja dengan sesiapa saja. Saya akan cuba kekalkan genre saya seperti rock balada.
“Insya-Allah saya akan hadir dengan single terbaru. Semuanya bergantung pada syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment,” katanya.
Kemenangan tempat kedua menerusi lagu Bukan Lagi Kita ciptaan lagu dan lirik Hael Husaini & Iqie Hugh pada acara yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Ahad lalu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.
© New Straits Times Press (M) Bhd