am@hmetro.com.my
Seremban: Pembantu pusat jagaan kanak-kanak yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mendera empat kanak-kanak, tahun lalu, menukar pengakuan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 21, membuat pengakuan bersalah itu masing-masing di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas pertuduhan dibacakan semula pada prosiding keputusan representasi.
Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.
Kesalahan itu dilakukan sekitar Ogos tahun lalu di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria, Rasah, di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, pihak pendakwaan memaklumkan yang representasi dikemukakan pihak pembelaan ditolak, namun terdapat perkembangan terkini dan memohon pertuduhan dibacakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac depan untuk prosiding laporan sosial dan fakta hukuman.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Noorashikin Nasarudin dan Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili peguam Boestamam Ahmad.
Puteri Nurin Amalina dituduh pada 12 September lalu namun mengaku tidak bersalah sebelum Surita membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi dua pertuduhan dengan syarat perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
Bagaimanapun, Meor Sulaiman tidak membenarkan jaminan diberikan.
Harian Metro menerusi laporan eksklusifnya pada September tahun lalu melaporkan penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat berkaitan produk Islam terkenal dikesan melakukan penderaan dengan membakar tangan, mencabut rumput sehingga penuh plastik dan salah laku seksual.
Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan yang terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa pada 4 September lalu di daerah ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




