am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, Kulim menyerbu empat premis di sekitar daerah ini yang dipercayai melakukan aktiviti melombong bitcoin, di sini, Isnin lalu.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi yang dilakukan Cawangan Risik 2 PGA Batalion 2 itu turut disertai Pasukan Juruteknik Khas (Seal Team) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Zon Utara.
Beliau berkata, operasi yang bermula jam 5 petang hingga 10 malam itu dilakukan berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati, empat premis yang diserbu itu dipercayai menjalankan aktiviti melombong bitcoin dan disyaki melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram.
“Kita merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk kegiatan sindiket itu yang ditemui iaitu 111 unit mesin perlombongan Bitcoin, lima unit router, dua unit modem dan sebuah komputer riba.
“Jumlah keseluruhan barangan yang dirampas adalah sebanyak RM890,950,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrum berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Beliau berkata, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990, jika disabit kesalahan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




