'Emak yang banyak beri semangat'

'Emak yang banyak beri semangat'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Jitra: Dulu, Muhammad Sufi Abdul Aziz yang membantu pesakit datang bertemu dengannya bagi mendapatkan khidmat fisioterapi.

Kini, Muhammad Sufi, 36, pula yang perlu menjalani rawatan fisioterapi selepas terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal pada 29 Disember lalu.

Kesannya, tiga bulan Muhammad Sufi tidak dapat berjalan selain mengalami pendarahan otak yang menyebabkan tempurung kanan di kepalanya mengecut.

Bercerita lanjut, Muhammad Sufi yang menetap di Taman Jitra Indah mengakui sukar untuk menerima apa yang berlaku terhadap dirinya.

Tambahan, kecederaan dialami menyebabkan dia terpaksa berehat daripada melakukan tugas hakiki sebagai ahli fisioterapi.

“Awalnya memang ‘down’ dan sebulan juga ambil masa untuk terima kerana sedih sangat waktu itu.

“Tapi saya tiada pilihan melainkan reda dan emak (Noraini Ishak, 71) yang banyak beri semangat malah kini menjaga saya sepenuhnya sejak berpisah dengan isteri pada Jun tahun lalu.

“Tanpa emak, tak tahu macam mana dan mungkin tiada semangat nak teruskan hidup,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bapa seorang cahaya mata perempuan berumur lima tahun itu berkata, dia kini boleh berjalan cuma tidak kuat seperti dulu.

Bagaimanapun, Muhammad Sufi tetap berusaha mencari rezeki dengan menjual daging salai walaupun ada ketikanya perlu menghadiri temujanji di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk pemeriksaan.

Selain menampung keperluan hidup, dia juga lakukannya untuk mencari dana membeli implan tempurung kepala yang berharga RM15,000.

“Saya masih menerima gaji tapi separuh saja jadi tambah pendapatan dengan berniaga.

“Sebenarnya sebelum jadi begini lagi sudah berniaga kerana gemar memasak… kini teruskan dengan menjual daging salai berharga RM80 sekilogram dan yang berlauk pula RM20 untuk 150 gram.

“Agak terbatas juga sebab tangan kiri lumpuh dan saraf mata kiri pula rosak. Mana (pelanggan) yang duduk berdekatan saya boleh hantar dengan berjalan kaki, kalau yang jauh emak bantu pandukan kereta untuk ke pejabat kurier bagi menghantar bungkusan kepada pelanggan,” katanya yang masih menaruh harapan untuk kembali sihat seperti dulu.

Kisah Muhammad Sufi turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan sumbangan RM15,000 kepadanya.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (1CU) Kedah, Zaiton Yahya di rumahnya di Taman Jitra Indah, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top