'Ah Boy' dipercayai ambil syabu sebelum lakukan jenayah, guna pistol Sig Sauer dan Retay

'Ah Boy' dipercayai ambil syabu sebelum lakukan jenayah, guna pistol Sig Sauer dan Retay

am@hmetro.com.my

Shah Alam: ‘Ah Boy’ yang ditembak mati di Pulau Ketam, Klang, Selasa lalu, dipercayai mengambil dadah jenis syabu sebelum melakukan jenayah.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengambilan syabu membuatkan dia berani untuk melakukan pelbagai jenis jenayah.

“Hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dalam pengedaran dan penggunaan dadah. Jadi, kesan yang mendalam atas penggunaan dadah ini turut menyebabkan dia berkelakuan sedemikian.

“Setiap kali mahu melakukan jenayah, suspek akan ambil dadah. Ujian darah yang dilakukan ke atas mayatnya mendapati dia positif dadah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek, sebelum ini pernah terbabit dalam samun berkumpulan namun bergerak solo sejak setahun atau dua tahun kebelakangan ini berkemungkinan kerana tidak serasi dengan ahli kumpulan.

“Sejak setahun dua ini, suspek melakukan samun serta rompakan untuk keperluan diri sendiri. Bila habis (hasil samun) dia buat jenayah lagi. Itu ‘habit’ (sikap) dia dalam setahun dua ini.

“Saya ingin menegaskan, kelakuan dia yang ‘trigger happy’ dilakukan seorang diri yang mana tiada rakan sejenayah atau ahli kumpulan yang perlu dirisaukan.

“Dia bertindak sendiri dan seperti mana saya nyatakan, dia ada 11 rekod jenayah dan sehingga ditembak mati, dia melakukan 15 jenayah. Dia pernah di penjara dua kali dan terakhir pada 2019,” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, Ah Boy menggunakan dua pistol semi automatik jenis Sig Sauer dan Retay dalam melakukan kegiatan jenayah.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti dari mana lelaki itu mendapatkan pistol terbabit namun pihaknya percaya, ia dibeli dari pihak tertentu dalam negara ini.

Terdahulu, suspek yang diburu polis susulan kes tembak di pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februari lalu, mati selepas berbalas tembakan dengan polis di sebuah hotel di Pulau Ketam, Selasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top