Kerajaan tidak pernah sekat pemimpin luar jumpa Tun M – Anwar

Kerajaan tidak pernah sekat pemimpin luar jumpa Tun M – Anwar

am@hmetro.com.my

Manama, Bahrain: Kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar yang mengunjungi negara ini daripada berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan dilontarkan pemimpin terbabit tidak seharusnya dilayan.

“Jangan dilayan sangat, kalau (ada pemimpin luar) nak jumpa apa masalahnya, kalau (ada) kawan dia nak jumpa (tiada masalah), (tapi) tak ada.

“Baru-baru ini pemimpin Thailand, Jepun, Indonesia, Turkiye (berkunjung ke Malaysia), tak ada minta nak jumpa (Dr Mahathir) dan kalau nak jumpa, tak akan saya kata jangan, jumpalah, bukan nak rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi di Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.

Dr Mahathir menerusi temubual dalam sebuah rancangan podcast mendakwa kerajaan pimpinan Anwar menghalang beberapa pemimpin asing daripada berjumpa dengannya.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa pemimpin yang disekat itu adalah rakan beliau sendiri.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dakwaan yang dibuat Dr Mahathir itu tidak seharusnya dijadikan isu.

“Jangan dilayan, hari-hari dia buat dakwaan, (kata) dia mana ada duit, (tapi) anak dia RM1 bilion lebih… bukan pertuduhan, itu pengakuan dan saya tak tahu pula dia cari (duit tapi) tak jumpa bawah televisyen,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, dua anak Dr Mahathir memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion.

Beliau dilaporkan berkata, berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepadanya, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.

Katanya, pengisytiharan harta itu antaranya membabitkan pegangan aset dan saham.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top