helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk menangguhkan sesi latihan skuad senior negara sehingga Jumaat ini susulan enam pemain diuji positif COVID-19, Sabtu lalu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan perbincangan terperinci yang dilakukan bersama pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
“Memandangkan ada pemain yang perlu menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada pemain yang dijangkiti, kami memutuskan untuk menangguhkan latihan sehingga 23 April (Jumaat).
“Selepas itu kami akan buat penilaian semula dan mendapatkan pandangan daripada KKM, MSN dan ISN bagi menentukan tarikh bila pemain boleh kembali berlatih,” katanya.
Ditanya skuad remaja negara pula, Kenny berkata: “Latihan mereka juga ditangguhkan dan kami akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa sebelum menentukan bila mereka boleh kembali meneruskan latihan,” katanya.
BAM dalam satu kenyataan, Sabtu lalu mengesahkan enam pemain kebangsaan diuji positif COVID-19 namun tidak mendedahkan identiti pemain terbabit.
Bagaimanapun, difahamkan salah seorang daripadanya boleh dianggap sebagai bintang dalam pembikinan buat skuad negara.
Kesemua enam pemain berkenaan kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




