Riyadh: Juara dunia tiga kali Shakur Stevenson, mengekalkan gelaran WBC lightweight miliknya selepas ‘menghentak’ Josh Padley, seorang juru elektrik dari Britain yang hanya mempunyai tiga hari untuk persiapan pada penghujung pusingan kesembilan.
Padley, 29, terbang ke Arab Saudi pada hari Rabu sebagai pengganti Floyd Schofield dari Amerika Syarikat yang menarik diri daripada pertarungan di Riyadh kerana masalah kesihatan.
Petinju Yorkshire yang sebelum ini tidak pernah kalah, kini dengan rekod 15-1, sedang berada di atas bumbung membaiki panel solar ketika menerima panggilan itu.
Dia meninggalkan vannya di lapangan terbang kerana pemberitahuan yang sangat singkat untuk menaiki penerbangan.
“Ia adalah minggu yang biasa, bekerja dengan pekerjaan harian. Sudah tentu masih berlatih tinju kerana itulah adalah sebahagian daripada kehidupan saya.
“Pada malam Selasa, panggilan impian datang… peluang untuk gelaran dunia, Shakur Stevenson dengan notis singkat. Bolehkah anda lakukannya? Saya jawab ‘ya, sila,” kata Padley kepada ESPN.
Penampilan berani Padley di dalam gelanggang mendapat pujian namun tugas untuk menentang juara terbukti terlalu sukar dan penjuru Padley melemparkan tuala pada penghujung pusingan kesembilan selepas dia dijatuhkan tiga kali.
Stevenson menambah rekod tanpa kalahnya kepada 23-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd




