Marsha Milan, nama yang kini gah sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), bukanlah satu perjalanan yang mudah.
Di sebalik gemerlap pentas dan kejayaan yang diraih, terdapat pelbagai cabaran besar yang perlu ditempuhinya sepanjang dua dekad dalam industri hiburan tanah air.
Pada awal pembabitannya dalam industri seni, Marsha tidak mendapat restu daripada ibunya. Bagi sang ibu, dunia hiburan bukanlah bidang yang menjanjikan masa depan yang stabil.
Namun, Marsha tidak pernah goyah. Dengan tekad membuktikan bahawa minatnya bukan sekadar angan-angan, beliau terus melangkah ke hadapan. Demi kelangsungan karier, Marsha meneroka pelbagai cabang dalam industri hiburan, termasuk menjadi pengacara, sambil terus mengukuhkan namanya sebagai penyanyi.
Selain itu, Marsha berkongsi cabaran terbesar yang masih dirasakannya hingga ke hari ini.
“Cabaran paling sukar adalah untuk terus relevan dalam industri. Pada usia ini, barulah saya mendapat pendedahan dan sorotan yang lebih besar” katanya, mengenang perjalanan seni yang penuh liku.
Awal kemunculannya bukanlah sesuatu yang indah, dengan bayaran hanya sekitar RM570 untuk beberapa bulan pertama, sedangkan kadar sewa rumah mencecah RM500 sebulan, kehidupan jauh dari selesa.
“Saya malu untuk meminta duit daripada ibu bapa kerana ingin membuktikan mereka salah. Akhirnya, saya terpaksa bertanya kepada adik-beradik jika mereka boleh meminjamkan wang kepada saya.” luahnya, mengenang detik sukar itu.
Lebih mencabar, ketika namanya lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding penyanyi, Marsha berusaha keras untuk memastikan dirinya tidak dilupakan sebagai seorang penghibur yang bermula dengan nyanyian.
Beliau sanggup mengorbankan simpanannya sendiri demi menerbitkan lagu-lagu baharu agar namanya terus relevan dalam industri muzik.
Keputusan berani Marsha membuahkan hasil apabila beberapa lagu yang dilancarkannya mendapat sambutan, termasuk ‘Sumandak Sabah’ dan ‘Bimbang’ yang menjadi titik perubahan besar dalam kariernya.
“Alhamdulillah, selepas mengeluarkan lagu ‘Bimbang’, saya akhirnya berjaya menembusi pentas yang lebih besar seperti Muzik-Muzik” katanya penuh kesyukuran.
Dengan usaha yang tidak pernah putus asa dan keyakinan terhadap impian sendiri, Marsha akhirnya berjaya merangkul kejuaraan AJL39, sekali gus membuktikan bahawa kepercayaan terhadap diri sendiri dan kerja keras pasti membuahkan hasil.
“Never stop believing and never stop dreaming,” itulah kata-kata yang terus dipegang oleh Marsha, inspirasi kepada ramai bakat muda yang bercita-cita besar dalam industri seni tanah air.
Marsha yang bernaung di bawah Alternate Records & Talent juga bakal mengeluarkan lebih lagu dan album, juga ada perbincangan untuk konsert di masa hadapan. Jangan lupa untuk ikuti perkembagan Marsha di akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.




