
Rakaman yang tular ketika Omer Shem Tov mencium kepala salah seorang pejuang Hamas selepas dibebaskan dalam pertukaran tahanan yang berlangsung di Nuseirat, Gaza, baru-baru ini. – Foto: Agensi
BAITULMAQDIS – Tindakan seorang tahanan Israel, Omer Shem Tov mencium kepala dua orang pejuang Hamas selepas dibebaskan dalam pertukaran tahanan yang berlangsung di Nuseirat, Gaza, baru-baru ini menjadi satu peristiwa yang mengejutkan.
Shem Tov merupakan antara tiga rakyat Israel yang diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam pertukaran tahanan terbaru yang melibatkan pembebasan Omer Wenkert, Eliya Cohen dan dirinya sendiri.
Ketiga-tiga mereka dibawa keluar oleh pejuang Hamas sebelum dipertontonkan di atas pentas di bandar Nuseirat, di mana mereka melambai dan memegang sijil pembebasan sebelum diserahkan kepada pegawai ICRC.
Dalam rakaman video yang tular, Shem Tov dilihat mencium kepala dua orang pejuang Hamas sambil tersenyum dan melambai ke arah orang ramai.
Menurut laporan The Times of Israel, bapanya, Malki Shem Tov berkata, anaknya yang kelihatan ceria semasa pembebasan mencerminkan keperibadiannya yang positif.
“Dia (Shem Tov) kelihatan lebih kurus… tetapi dia tetap ceria, paling positif di dunia.
“Kami tidak tahu bagaimana rupanya selepas sekian lama dia dalam tahanan. Namun, apabila dia keluar dengan senyuman dan lambaian, ia benar-benar mengejutkan kami semua,” katanya kepada Channel 12 dalam satu panggilan video.
Menurut abangnya, Shem Tov sememangnya seorang yang sentiasa bersikap optimis.
“Dia sentiasa positif, sepanjang masa. Bahkan di sana (dalam tahanan Hamas), mereka menyukainya juga,” katanya.
Berdasarkan kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), ketiga-tiga tahanan tersebut telah menghabiskan 505 hari dalam tahanan Hamas sebelum dibawa kembali ke Israel.
Mereka kini menjalani pemeriksaan fizikal dan mental di fasiliti IDF bagi memastikan keadaan kesihatan mereka stabil selepas tempoh panjang dalam tahanan.
Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat antarabangsa, dengan ramai yang melihatnya sebagai satu simbol kemanusiaan di sebalik konflik yang berpanjangan antara Israel dan Palestin.-Agensi