JENIN – Israel mengumumkan bahawa tenteranya akan kekal di kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki untuk tempoh beberapa bulan, selepas puluhan ribu penduduk Palestin dipaksa berpindah akibat operasi ketenteraan yang semakin agresif.
Serangan besar-besaran terhadap pejuang Palestin di utara Tebing Barat bermula sebulan lalu, sejurus selepas gencatan senjata di Genting Gaza dikuatkuasakan.
Serangan itu kini semakin meluas, merangkumi beberapa kem pelarian berhampiran bandar Jenin, Tulkarem dan Tubas.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, tiga kem utama iaitu Jenin, Tulkarem dan Nur Shams kini ‘kosong daripada penduduk’, dengan anggaran 40,000 orang telah dipindahkan.
Angka itu sama seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang turut memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 51 rakyat Palestin, termasuk tujuh kanak-kanak, serta tiga askar Israel terbunuh dalam operasi itu.
Gallant mengarahkan tenteranya untuk bersiap sedia untuk kekal lebih lama di kem yang telah dibersihkan bagi tempoh setahun akan datang serta menghalang penduduk daripada kembali dan memastikan kumpulan pejuang tidak bangkit semula.
Pada Ahad, tentera Israel turut mengumumkan bahawa kereta kebal telah dikerahkan ke Jenin bagi ‘memperluaskan’ operasi mereka.
Ini merupakan kali pertama kereta kebal digunakan di Tebing Barat sejak berakhirnya Intifada Kedua pada 2005.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu majlis ketenteraan pada Ahad berkata, langkah itu membuktikan bahawa Israel memerangi keganasan dengan segala cara, di mana sahaja.
Bagaimanapun, penganalisis keselamatan dari Le Beck International, Michael Horowitz, berkata, tidak ada keperluan ketenteraan yang jelas untuk penggunaan kereta kebal di Tebing Barat ketika ini.
“Melainkan ia bertujuan untuk menghantar mesej atau menunjukkan kemungkinan Israel mahu terus menduduki kawasan yang menjadi sasaran serangan mereka,” katanya kepada AFP.
Rakaman oleh AFPTV menunjukkan pergerakan kereta kebal Israel serta jentolak yang beroperasi di sekitar Jenin pada Ahad.
“Pasukan tentera Israel telah memusnahkan kedai dan infrastruktur rakyat Palestin.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka,” kata penduduk Jenin, Fayez al-Sayyed. – AFP