Langkah berani Anis buahkan hasil

Langkah berani Anis buahkan hasil

LANGKAH berani memulakan perniagaan minuman bagi menyelamatkan kakitangan syarikat daripada kehilangan kerja membuahkan hasil apabila produk tersebut mendapat sambutan luar biasa.

Menariknya, perniagaan minuman jenama Haos Ek? itu pada mulanya diwujudkan hanya untuk sementara, namun disebabkan mendapat sambutan pembeli, ia terus dikembangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Haos Bhd, Anis Permin berkata, perniagaan tersebut bermula apabila beliau mahu menyelamatkan 45 kakitangannya daripada hilang pekerjaan berikutan syarikat percetakan dan pengiklanan miliknya tidak dapat beroperasi akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Anis berkata, ketika PKP, beliau mengambil inisiatif menggunakan wang simpanan syarikat untuk memastikan kebajikan pekerja terjamin.

ANIS

ANIS

Beliau bagaimanapun berkata, keadaan tersebut tidak boleh bertahan lama kerana jika diteruskan tanpa sebarang tindakan akan memberi kesan besar kepada kakitangan, selain perniagaan diusahakan akan lenyap.

“Melihat kepada kewangan semakin susut, saya terus memikirkan bisnes apakah yang paling relevan sewaktu PKP. Saya melihat makanan dan minuman paling sesuai.

“Ketika itu memang banyak idea produk dicadangkan seperti pes, makanan sejuk beku dan sambal. Tapi ada seorang staf menyarankan supaya menjual air minuman botol,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Anis berkata, beliau mengambil keputusan menjual air minuman dalam botol dan terus merancang pengembangan perniagaan tersebut.

Ujarnya, produk Haos Ek? dilancarkan 1 Jun 2021 dan beliau tidak menyangka ia mendapat sambutan sangat luar biasa dengan jualan pada bulan pertama mencecah 100,000 botol.

“Kejayaan itu menjadi pemangkin semangat untuk saya terus menjual Haos Ek? Saya mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan ini kerana pasarannya sangat luas,” katanya.

Menurut Anis, kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) mendapati potensi pasaran minuman yang dibotolkan boleh mencecah sehingga AS$500 bilion menjelang 2030.

“Potensi pasaran sangat luas. Saya tak mahu berpatah balik dan bercadang untuk meneroka lebih lanjut mengenai jualan minuman berbotol. Dari situlah bermulanya perjalanan Haos Ek?,” jelasnya.

Pengiktirafan halal

Anis berkata, ketika mahu memulakan perniagaan Haos Ek?, banyak pihak yang menasihatinya supaya mendapatkan sijil halal.

Disebabkan kurang mahir berkenaan industri makanan dan minuman (F&B), Anis pernah mempersoalkan nasihat pengambilan sijil halal.

“Pada mulanya memang tak faham kenapa perlu ada sijil halal, tetapi disebabkan ramai yang bercakap perlu ada sijil dan sebagainya, saya pun daftarlah.

“Bila nak dapatkan sijil itu, banyak cabaran kami hadapi seperti susun atur peralatan tidak sesuai, SOP dan dokumen tidak lengkap. Mula-mula agak stres sebab saya nak jual air saja.

“Tapi bila ikut setiap syarat ditetapkan, saya mula faham ia demi kebaikan produk dan syarikat. Ini supaya dapat mengesan jika sesuatu berlaku serta membantu memperbaiki kualiti produk dan kecekapan pengeluaran,” katanya.

Tambah Anis, peluang pemasarannya semakin luas selepas mendapat sijil halal termasuk Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) apabila produk mula ditempatkan di merata tempat seperti kedai, pusat beli-belah dan stesen minyak.

“Semua itu penting kerana rakyat Malaysia terutamanya umat Islam pasti akan membeli produk yang mendapat pengiktirafan halal kerana yakin dengan kualiti dan kebersihan produk,” katanya.

Dalam pada itu, Anis berkata, Haos Ek? sudah dibawa masuk ke Singapura bermula tahun 2023 dan kini mencecah 400 cawangan, sementara di Semenanjung Malaysia pula sudah mencapai 4,000 cawangan.

Jelas beliau, kini syarikatnya berada dalam proses untuk mendapatkan sijil Amalan Perkilangan Terbaik (GMP), Titik Kawalan Kritikal Analisis Hazard (HACCP) dan ISO 22000.

“Insya-ALLAH, awal tahun ini kita sudah mendapat kelulusan untuk pensijilan GMP, HACCP dan ISO 22000. Kita bersedia untuk teroka pasaran luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

“Kita tunggu pensijilan dan kesediaan produk sebab Haos Ek? tiada sebarang bahan pengawet. Ada 45 hari sahaja sebelum produk tamat tempoh.

“Disebabkan itu, kita bekerjasama secara agresif bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk menghasilkan produk dalam bentuk serbuk yang lebih mudah dipasarkan ke peringkat antarabangsa,” jelas beliau.

Terus ke hadapan

Dalam usaha untuk terus kekal relevan, Anis berkata, syarikatnya akan sentiasa menaik taraf, menambah baik teknologi pengeluaran dan bergerak seiring Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ujarnya, ditambah pula kini negara sedang menuju ke arah Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), justeru pihak Haos Ek? perlu melakukan sesuatu.

“Susulan itu, kami menaik taraf botol yang mesra alam dan boleh dikitarkan semula sekali gus dapat membina jenama untuk bergerak lebih jauh daripada pesaing yang ada.

“Kita perlu bergerak seiring dengan perubahan yang berlaku jika mahu kekal lama dalam industri. Saya mempunyai sasaran untuk membawa nama Haos Ek? ke Bursa Malaysia menjelang 2028.

“Saya tahu ini memang impian yang luar biasa untuk syarikat baharu tetapi saya yakin dan percaya jika ALLAH SWT sudah tulis itu sebagai rezeki kita, ia akan jadi milik kita,” katanya.

Sementara itu, Anis berkata, Haos Bhd menganjurkan kempen Tekan Goncang Buka dan Menang Raya bermula tahun 2023 sebagai tanda terima kasih kepada penggemar Haos Ek?.

Ujar Anis, kempen tersebut diteruskan tahun ini dengan pelbagai hadiah menarik menanti pembeli minuman botol itu seperti wang tunai dan syiling emas bernilai RM50,000.

“Beli mana-mana perisa minuman Classic Series iaitu coklat, teh tarik, kopi peng, kopi O dan sirap bandung. Kemudian buka botol seperti biasa, lihat bawah penutup ada tulis ‘anda pemenang’ dan boleh imbas kod QR disediakan.

“Selepas itu, ikut arahan yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp dan jawab semua soalan mudah untuk mendapatkan hadiah anda,” jelas beliau. Istimewa sempena Ramadan, Syawal

Scroll to Top