Pelakon dan pelawak popular, Azlee Senario seakan memberi bayangan bahawa peminat bakal menerima khabar gembira mengenai rakan baiknya, Yassin.
Kata Azlee, Yassin ada menghubungi isterinya dan memaklumkan dia kini berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah dia sihat sahaja. Dia menghubungi isteri dia.
“Tapi isterinya memaklumkan dia sihat dan baik. Doakan yang baik-baik,” katanya.
Azlee berkongsi mengenai perkembangan rakannya itu ketika ditemui usai sidang media Bazar Raya Shah Alam 2025 yang diadakan di Kelab Shah Alam, Selangor.
Mengulas lanjut, Azlee atau nama penuhnya, Azlee Jaafar enggan memberi komen lanjut mengenai keberadaan Yassin selain mahu menjaga aibnya.
Sekaligus, meluahkan rasa bangga apabila Yassin berpeluang menyambut bulan Ramadan di sana.
“Kita akan melakukan konsert besar dengan sasaran penonton seramai 40 ribu orang dan itu menuntut semua ahli senario bersama.
“Baguslah dia sedang menuntut ilmu disana. Kadang-kadang ilmu Allah ni kita kena banyakkan. Jadi bila dia balik sini dia akan mengajar kita.
“Saya pun sedih sebab kita dapat berpuasa disini dan dia dapat berbuka disana. Ini semua rahmat Allah. Doakan yang baik-baik.
“Saya rasa kebanyakan mereka yang tanya saya cuma nak jaga aib sebab dia adik kami yang paling bongsu.
“Sebenarnya kau orang pun dah tahu cuma kami minta anda semua dapat doakan yang baik-baik,” jelasnya.

Meskipun enggan memberi sebarang komen lanjut mengenai isu kontroversi tersebut, Azlee bagaimanapun memaklumkan peminat bakal menerima khabar gembira tidak lama lagi.
“Kita juga akan menerima berita gembira tidak lama lagi.
“Lagi beberapa minggu lagi kita akan dapat bersama dia. Doakan yang baik-baik,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja, namun tidak mendedahkan identitinya.
Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu. Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November lalu.
Sumber dilapor berkata, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.
Dalam perkembangan lain, Azlee diumum sebagai duta bagi Bazar Raya Shah Alam 2025.
Selain Senario, selebriti lain yang diumum akan tueut serta pada bazar kali ini adalah, Harris Annuar, Ebit Lew, Nadia Mustapha, Ako Mustapha, Aida Aris dan ramai lagi.





