dayana@mediaprima.com.my
Hanoi: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Hanoi untuk lawatan kerja dua hari ke Vietnam atas jemputan rakan sejawatnya, Pham Minh Chinh.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai kira-kira jam 7.10 malam (waktu tempatan).
Perdana Menteri disambut Timbalan Menteri Luar Vietnam, Ngo Le Van.
Turut hadir untuk menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang adalah Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.
Lawatan kerja Anwar ke Vietnam kali ini diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.
Sebagai Pengerusi Asean tahun ini, Anwar dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama di Forum Masa Depan Asean, esok.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, forum itu adalah platform perbincangan inklusif dan dialog dalam kalangan pemimpin Asean, pembuat dasar, pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan dan pihak berkepentingan mengenai hala tuju masa depan Asean.
“Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai Madani dan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi Asean bagi tahun 2025 serta mengetengahkan keutamaan dan keberhasilan Malaysia tahun ini, termasuk usaha mempromosikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim, dan tenaga boleh diperbaharui,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Anwar juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam dan Presiden Vietnam, Luong Cuong serta bertemu dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara merangka hala tuju yang jelas dalam memperkukuh kerjasama dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Perbincangan akan berfokus kepada bidang strategik, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, ekonomi maritim, sains dan teknologi, tenaga serta pelancongan,” menurut Wisma Putra.
Wisma Putra berkata, para pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau.
“Lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Negara-Negara Anggota Asean, selaras dengan tema Pengerusi Asean Malaysia iaitu Keterangkuman dan Kemampanan.
“Lawatan ini juga dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam serta memperluas kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa,” menurut Wisma Putra.
Ini adalah kunjungan kali kedua Anwar ke Vietnam selepas lawatan rasmi ke negara anggota Asean itu pada Julai 2023, selepas memegang tampuk pemerintahan negara pada 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd



