Jaminan elak kenaikan harga makanan utama pada musim perayaan

Jaminan elak kenaikan harga makanan utama pada musim perayaan

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan beberapa langkah awal bagi memastikan bekalan makanan utama mencukupi menjelang musim perayaan sekali gus mengelak berlaku kenaikan harga barangan di pasaran.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bermula bulan ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dianggarkan membeli 188.89 tan ayam dan 2,486,022 biji telur ayam secara belian terus melalui 42 pusat operasi di seluruh negara.

Selain itu katanya, melalui langkah intervensi pemasaran kelapa tua dengan kerjasama Fama Corporation Sdn Bhd, syarikat itu akan membeli 640 tan kelapa tua, selain mengimport 576 tan kelapa dari Indonesia.

“Pada masa sama, Fama membuka pasaran kepada pengeluar bagi memasarkan hasil pertanian terus kepada pengguna, meliputi penjualan sayur, buah dan hasilan ternakan.

“Fama juga sedang merangka program jualan pra syawal di premis Pasar Tani dan Jualan Agro Madani seluruh negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah awal yang diambil kementerian bagi memastikan bekalan makanan utama mencukupi menjelang Aidilfitri

Mohamad berkata, KPKM juga sentiasa memastikan bekalan import mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna berikutan permintaan seperti cili, tomato dan halia adalah tinggi pada bulan sebelum dan bulan perayaan utama di Malaysia.

“Bagi memastikan bekalan makanan itu dapat diakses pengguna, Fama akan memastikan bekalan turut dijual menerusi premis pemasaran Fama dan program jualan terus yang dilaksanakan pada harga munasabah,” katanya.

Mohamad berkata, KPKM juga meneruskan dasar membenarkan kemasukan ternakan hidup untuk fidlot dan sembelihan dari negara yang diluluskan untuk import, iaitu Australia dan Thailand.

Menurutnya, selain itu, pihaknya meneruskan kemasukan daging lembu/kerbau sejuk beku dan daging ayam serta keratan ayam dari negara pengeksport yang diluluskan seperti Australia, Brazil, Thailand dan India.

“Kementerian turut mengambil langkah pencegahan dan kawalan penyakit ayam terutama penyakit High Pathogenic Avian Influenza (HPAI) dan Newcastle Disease (ND), Penyakit Kuku dan Mulut (FMD), Lumpy Skin Disease (LSD) dan penyakit pembiakan seperti Brusella bagi mengelakkan kematian yang boleh mengurangkan pengeluaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top