Pertukaran tahanan – tebusan terakhir fasa 1 gencatan senjata

Pertukaran tahanan – tebusan terakhir fasa 1 gencatan senjata

Baitulmaqdis: Israel membebaskan satu lagi kumpulan tahanan Palestin, ke Tebing Barat yang diduduki, susulan penerimaan empat mayat tebusan daripada Hamas, pada awal Khamis.

Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengesahkan mereka menerima keranda “empat tebusan yang terkorban”, dan proses untuk mengenal pasti identiti mereka secara rasmi bermula di Israel.

Di Ramallah, wartawan AFP melihat kumpulan pertama lebih 600 banduan yang dibebaskan oleh Israel, turun dari bas di hadapan orang ramai,

Mereka sepatutnya dibebaskan pada hujung minggu lalu, tetapi Israel menghentikan proses itu berikutan kemarahan terhadap upacara penyerahan yang diadakan Hamas.

Pertikaian itu mengancam fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza yang rapuh yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

AFP melaporkan sebuah bas yang membawa sekumpulan tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza tiba pada Khamis di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki.

Kumpulan tahanan Palestin itu disambut meriah oleh penduduk dengan sorakan penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Berbalut dengan selendang keffiyeh tradisional dan jaket untuk menutupi pakaian penjara, kumpulan tahanan Palestin yang dibebaskan turun dari bas di hadapan kumpulan orang ramai yang padat dan bersorak gembira, sebelum menuju ke tempat pemeriksaan ringkas kesihatan.

Golongan muda dan tua melaungkan “Allahu Akbar” serta “rakyat mahukan Briged Ezzedine Al-Qassam (sayap ketenteraan Hamas)”, sementara pada masa sama Gabenor Ramallah, Leila Ghannam, turut menyambut ketibaan tahanan berkenaan.

Beberapa tahanan dijulang ke udara, sebahagian daripada mereka turut ditemu ramah ketika masih berada di atas bahu rakan atau saudara mereka yang kegembiraan.

Sekumpulan wanita tidak dapat menahan tangisan ketika mengelilingi seorang tahanan yang baru dibebaskan, manakala seorang kanak-kanak yang dijulang ke udara sambiul membuat isyarat keamanan dengan kedua-dua tangannya.

Menurut pegawai Hamas, lebih 600 tahanan Palestin dijadualkan dibebaskan antara Rabu dan malam Khamis di bawah perjanjian gencatan senjata itu, dengan kebanyakan mereka dihantar ke Gaza.

Pembebasan ini menandakan pertukaran terakhir di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza yang berkuat kuasa sejak 19 Januari.

Mengikut perjanjian itu, seramai 33 tebusan, termasuk lapan mayat dari pihak Israel dijadualkan dibebaskan kumpulan pejuang Palestin menjelang 1 Mac sebagai pertukaran dengan 1,900 tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top