Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan untuk menjual permit pemastautin baharu yang dikenali sebagai visa kad emas (gold card) pada harga AS$5 juta (kira-kira RM23.7 juta) setiap satu, dan beliau tidak menolak kemungkinan golongan oligarki Rusia turut layak memohonnya.
Trump berkata, penjualan visa baharu itu yang juga adalah versi lebih eksklusif daripada kad hijau (green card) tradisional, bertujuan menarik pelabur yang boleh mencipta peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan defisit negara.
“Kita akan menjual gold card. Anda ada kad hijau, ini pula kad emas. Harga yang kita letakkan untuk kad ini kira-kira AS$5 juta (kira-kira RM23.7 juta),” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, Rumah Putih.
Presiden daripada Parti Republikan itu, yang menjadikan pengusiran jutaan pendatang tanpa dokumen sebagai keutamaan dalam penggal kedua kepemimpinannya, menjelaskan visa baharu itu boleh menjadi laluan kepada kewarganegaraan AS yang sangat diidamkan.
“Ramai mahu berada di negara ini dan mereka akan dapat bekerja, mewujudkan pekerjaan serta membina syarikat. Ini untuk mereka yang ada duit,” kata Trump.
Menurutnya, penjualan visa baharu itu akan bermula dalam tempoh kira-kira dua minggu, dengan jangkaan sejuta visa itu dapat dijual.
“Kita sudah susun semua aspek undang-undang. Mungkin kita boleh jual sejuta kad ini,” katanya.
Bekas taikun hartanah itu juga menegaskan bahawa semua pemohon akan melalui proses tapisan ketat.
Namun, apabila ditanya sama ada golongan kaya dari Rusia juga boleh memohon, Trump mengakui ia berkemungkinan.
“Mungkin. Saya kenal beberapa oligarki Rusia yang baik. Ia boleh jadi satu kemungkinan. Mereka tak sekaya dulu tetapi saya rasa mereka mampu. Saya rasa mereka boleh bayar AS$5 juta (kira-kira RM23.7 juta),” katanya.
Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tiga tahun lalu, beberapa oligarki Rusia dikenakan sekatan oleh negara Barat.
Dalam perkembangan lain, Trump mencetuskan kejutan di ibu negara Eropah apabila tiba-tiba membuka rundingan dengan Rusia untuk menamatkan perang, menimbulkan kebimbangan bahawa beliau mungkin sanggup menggadaikan kepentingan Ukraine.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan menarik balik sekatan terhadap Rusia, Trump berkata, ia boleh dipertimbangkan “pada suatu ketika nanti”, namun tidak dalam masa terdekat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




