Warga emas didenda RM6,000 miliki senapang patah, 100 peluru tanpa permit

Warga emas didenda RM6,000 miliki senapang patah, 100 peluru tanpa permit

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Warga emas didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki senapang patah dan memiliki lebih 100 butir peluru tanpa permit, minggu lalu.

Tertuduh, Omar Busari, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dalam miliknya selaras senapang patah buatan sendiri tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didapati dalam milikan 108 butir peluru jenis ‘buckshot’ (12 bore) tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Nombor 42, Ladang Pasir Panjang, di sini, jam 12 tengah hari, 21 Februari lalu.

Kedua-dua pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah M Safri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Afiqah Hambali.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, lelaki itu ditahan bersama senjata api disyaki digunakan untuk memburu haiwan secara haram di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, pada operasi dijalankan, pihaknya menahan dua lelaki berumur 65 dan 39 tahun selain merampas beberapa senjata api serta komponen berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top