Dalam era digital serba moden ini, aplikasi dating atau janji temu seperti Tinder, Omi, Litmatch dan Bumble semakin popular dalam kalangan pengguna yang ingin mencari jodoh atau berkenalan dengan orang baharu.
Manfaat atau mudarat?
Namun begitu, sejauh mana aplikasi itu dapat memberi manfaat ataupun mendatangkan mudarat? Yang menjadi persoalan utama, adakah pengguna sedar mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil?
Antara aplikasi dating di Apple Store
Menurut Pensyarah Jabatan Bahasa dan Literasi, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Sueraya Che Haron, kewujudan aplikasi tersebut dapat memberi manfaat kepada golongan ‘introvert’ yang bersifat pemalu dan kurang bersosial untuk mencari jodoh atau kenalan.
“Walau bagaimanapun ia boleh membawa kepada kemudaratan sekiranya disalahgunakan, apatah lagi jika tiada pemantauan dan kawalselia yang sewajarnya.
“Aplikasi sebegini membuka ruang dan peluang kepada pelbagai masalah sosial dan jenayah yang akan memberi kesan kepada keselamatan dan kesihatan fizikal, mental dan emosi serta produktiviti.
“Jadi ia bergantung kepada tujuan menggunakan aplikasi dan bagaimana digunakan. Penggunaan berlebihan dan tanpa tujuan yang wajar boleh membawa mudarat berbanding manfaat,” katanya kepada Oh My Media.
Prof Madya Dr Sueraya
Risiko jika tidak dikawal
Beliau berkata, bagaimanapun terdapat risiko yang timbul sekiranya penggunaan aplikasi berkenaan menjadi berleluasa tanpa kawalan terutama masalah sosial dan jenayah secara dalam talian.
“Antaranya pergaulan bebas tanpa mengira jantina dan status, nilai perkahwinan dan kekeluargaan pula akan luntur kerana masyarakat boleh menjalin hubungan tanpa komitmen seperti perkahwinan, malah boleh bertukar-tukar pasangan.
“Ia sekali gus menyumbang kepada keruntuhan rumah tangga dan meningkatkan risiko perceraian, selain membuka ruang dan peluang kepada pelbagai aktiviti tidak bermoral.
“Turut timbul masalah jenayah seperti membuka ruang kepada ,jenayah fizikal seperti culik, serangan seksual serta jenayah siber seperti penipuan dan ugutan terhadap mangsa,” jelasnya.
Artikel lain: Wanita anggap individu download aplikasi waktu solat sebagai pemalas
Aplikasi dating digunakan untuk mencari jodoh atau kenalan
Oleh kerana tiada kawalan secara langsung ke atas Apple Store dan Google Play, Dr Sueraya menyarankan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau dan mengawalselia dengan mengesan, menyekat serta menghapuskan kandungan yang melanggar undang-undang seperti termaktub dalam Akta Komunikasi dan Media 1998.
“Bukan itu saja, ia juga tanggungjawab sosial kita semua iaitu bermula dengan pengguna sendiri yang sepatutnya menggunakan sebarang aplikasi secara berilmu, beretika dan berhati-hati.
“Keluarga terutamanya ibu bapa, sekolah, institusi pendidikan tinggi perlu memberi pendidikan dan kesedaran tentang penggunaan dan risiko aplikasi tersebut.
“Selain itu, institusi agama juga boleh memberi sentuhan spiritual dengan mendidik pengguna dari segi adab dan etika bersosial,” katanya.
Sementara itu, Dr Sueraya menjelaskan bahawa terdapat langkah terbaik untuk mengawal tanpa perlu melaksanakan sekatan sekiranya aplikasi terbabit menyumbang kepada manfaat, tetapi sering disalahgunakan.




