georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan bekas peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Rezza Shah, 23, pelik kenapa dirinya menjadi mangsa tidak disenangi ramai orang hanya kerana paras rupanya menarik.
Rezza Shah atau nama sebenarnya Muhammad Shahrezza Abu Samah berkata dari kecil sampai sekarang, dia berdepan isu begitu sehingga ada menerima ugutan berbahaya.
“Sebenarnya bagi saya kadang-kadang ada juga rasa beban itu, rasa macam susahlah. Tapi nak buat macam mana sudah Tuhan buat muka saya macam ini. Kita hadap sajalah.
“Jujurnya dari kecil saya menerima kecaman. Kita buat baik orang tidak suka dan kita buat jahat lagilah orang tak suka. Jadi kita buat apa yang kita suka dan apa yang kita rasa sesuai dengan situasi dan orang sekeliling.
“Kita jadi diri kita sendiri. Bagi saya ia satu bonus sebenarnya, banyaklah manfaat yang saya dapat dari situ,” katanya ditemui pada pelancaran lagu baharunya berjudul Mungkin di The Redbox, di sini, semalam.
Terbaru, Rezza turut menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan imejnya untuk tujuan tidak senonoh.
Foto lamanya tidak berbaju disunting dan dijadikan imej lucah.
“Gambar-gambar kurang sopan yang disunting itu disebarkan menerusi pautan yang membawa pelayar kepada akaun Telegram.
Gambar itu saya muat naik di TikTok, tapi mereka sunting.
Sebenarnya gambar itu ketika saya mandi sungai tidak berbaju yang saya muat naik kira-kira dua atau tiga tahun lalu. Ada juga gambar beberapa rakan artis lain yang mereka gunakan.
“Kalau berlebihan, saya akan buat laporan polis sebab ini membabitkan maruah saya,” kata penyanyi kelahiran Sarawak itu.
Rezza juga berkongsi menerima pelbagai mesej melampau di media sosial daripada pelbagai golongan manusia. Ia termasuk dihantar foto lucah selain ajakan tidak senonoh.
“Gambar yang aneh-aneh dari perempuan pun ada, begitu juga dari golongan yang suka pada kaum sejenis. Sudah lama saya terima gangguan-gangguan seperti ini.
“Lebih merisaukan apabila ia dihantar dengan akaun media sosial palsu,” katanya.
Berkongsi mengenai kes ugutan simbah asid yang diterimanya sebelum ini, Rezza sudah pun membuat laporan polis dan memberitahu ia dalam siasatan.
Lagu Mungkin itu hasil ciptaan oleh komposer Rudy Nastia, Ku Yen, Barr Hadif dan Kelana, manakala liriknya ditulis oleh Ku Yen, Jebat Asmara, dan Rudy Nastia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



