SAH Entertainment terus memperkukuh pengaruhnya dalam industri muzik dengan menjalin kerjasama eksklusif bagi penganjuran tiga konsert mega, menampilkan artis-artis popular tanah air di bawah naungan Universal Music Malaysia seperti Ernie Zakri, Dolla, dan Insomniacks.
Konsert ini bukan sahaja menampilkan kehebatan bakat tempatan, tetapi turut mengangkat industri hiburan Malaysia ke peringkat yang lebih luas, termasuklah ke Singapura.

Menurut Sufi Rashid selaku penganjur utama ketiga-tiga konsert, inisiatif ini merupakan strategi penting dalam memberi peluang lebih besar kepada artis berbakat untuk menonjol di pentas antarabangsa.
“SAH Entertainment berbangga dapat membawa nama-nama besar seperti Ernie Zakri, Dolla, dan Insomniacks ke pasaran yang lebih luas. Kerjasama bersama Universal Music Malaysia juga menjadi pemangkin dalam usaha mengangkat martabat seni muzik negara,” katanya.
Dengan pemilihan lokasi ikonik seperti Capitol Theatre di Singapura dan Zepp Kuala Lumpur, SAH Entertainment memastikan setiap konsert menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan teknologi audio dan visual yang canggih serta suasana lebih eksklusif.
“Kami berharap kolaborasi ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai artis berbakat mendapat peluang untuk beraksi di pentas yang lebih besar,” tambah Sufi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menyatakan bahawa kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada perkembangan artis-artis utama mereka tahun ini iaitu Ernie Zakri, Doll dan Insomniacks, dalam usaha memperluaskan pengaruh mereka di peringkat serantau.
“Bersama SAH Entertainment, yang mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam penganjuran konsert, termasuk kejayaan konsert solo sulung Ernie Zakri di Kuala Lumpur, kami yakin kombinasi kekuatan kreatif kedua-dua pihak akan mencipta platform luar biasa buat ketiga-tiga artis ini,” katanya.
Kim Lim turut menambah bahawa usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ekosistem kreatif di Asia Tenggara, tetapi juga memperkukuh komuniti muzik serantau yang semakin berkembang, didorong oleh khalayak muda dan era digital.

Bagi Ernie Zakri, yang baru sahaja mengadakan Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 25 Januari di bawah SAH Entertainment, fokus utama kini adalah penjualan tiket.
“Buat masa ini, persiapan untuk konsert di Singapura masih belum bermula kerana saya baru sahaja selesai dengan Konsert Aura dan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL). Jadi, fokus sekarang adalah menjual tiket sambil mengambil masa untuk berehat.
“Seperti yang diketahui, saya kurang sihat ketika konsert tempoh hari dan doktor menyarankan supaya saya berehat sebelum bersiap sedia untuk konsert di Singapura pada Mei nanti. Saya sangat teruja kerana saya tahu peminat di sana sentiasa memberikan sokongan luar biasa. Ini juga akan menjadi konsert solo pertama saya di Singapura,” katanya.
Jadual konsert Sah Entertaintment 2025:
- 31 Mei 2025 – Ernie Zakri Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
- Ogos 2025 – Dolla Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)
- 12 Julai 2025 – Insomniacks Live in Kuala Lumpur (Zepp Kuala Lumpur)
- November 2025 – Insomniacks Live in Singapore (Capitol Theatre, Singapura)

Bagi pihak DOLLA, Sabronzo menyatakan bahawa mereka sangat teruja dengan konsert yang bakal diadakan.
“Kami bersyukur kerana akhirnya dapat merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo di Singapura. Ini adalah sesuatu yang telah lama kami nantikan, dan kami tidak sabar untuk bertemu peminat DOLLA yang telah menyokong kami sejak awal.
“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik dan menjadikan malam itu satu kenangan yang sukar dilupakan. Jumpa anda semua pada 30 Ogos di Capitol Theatre!” kata Angel dan Tabby.

Sementara itu, Insomniacks melihat konsert ini sebagai pencapaian yang cukup bermakna buat mereka.
“Tahun 2025 adalah tahun yang istimewa bagi kami kerana akhirnya dapat mengadakan konsert besar di Kuala Lumpur dan Singapura.
“Ini adalah satu kejayaan besar buat kami, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan mereka selama ini. Kami tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik di Zepp KL pada 19 Julai, dan seterusnya menggegarkan Capitol Theatre di Singapura pada 29 November. Jumpa anda semua di sana!” kata mereka.
Peminat boleh mengikuti laman media sosial rasmi SAH Entertainment untuk mendapatkan maklumat terkini serta pembelian tiket.




