am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Kru kapal pengangkut pekerja pelantar yang terjatuh ke sungai ketika melakukan kerja pembersihan ditemukan lemas, malam ini.
Mayat Ahmad Nasaruddin Muhamad, 35, ditemui orang awam dalam keadaan terapung berhampiran Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, jam 9.34 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu.
Katanya, polis menerima maklumat penemuan itu daripada orang awam melalui sistem MERS 999.
“Saya mengesahkan mayat yang ditemui di kawasan berhampiran Masjid Kristal TTI adalah Ahmad Nasaruddin Muhamad.
“Mayat ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian mangsa terjatuh di kawasan syarikat pembinaan kapal di Pulau Duyong, di sini,” katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Sementara itu ahli keluarga mangsa yang berada di perkarangan Jabatan Forensik bersyukur dengan penemuan mayat lelaki berkenaan.
Kakak mangsa, Siti Zarina, 42, berkata, mereka bersyukur mayat adiknya dapat ditemui dalam masa singkat.
“Alhamdulillah, Nasa dah jumpa. Mayatnya juga sempurna, hanya terdapat kesan luka kecil di kepala dipercayai terhantuk objek keras ketika terjatuh,” kata ketika ditemui selepas selesai membuat pengecaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




