Kuala Lumpur: Peluang menyertai Festival Pelbagai Budaya Kebangsaan Canberra 2025 di Australia, baru-baru ini, membolehkan Rozita Rohaizad berkongsi bakat, pengalaman dan pengetahuan dunia seni bersama masyarakat antarabangsa.
Rozita juga penyanyi dan pelakon menyertai acara di Petrie Plaza Space Canberra ACT pada 7 Februari lalu.
Menurut Rozita, dia tiba di Melbourne pada 5 Februari dan menyewa sebuah kereta bersama tukang palu rebana, Musa Kanda untuk memandu ke Canberra.
“Alhamdulillah saya tiba keesokan harinya dan bersedia untuk menjayakan persembahan di festival itu.
“Saya bersedia dengan beberapa lagu asli dan tradisional antaranya Keroncong Anak Ikan, Pantun Budi, Joget Budaya dan Joget Malam Pertama.
“Di kesempatan menjayakan persembahan itu juga saya mengambil peluang memperkenalkan budaya Malaysia menerusi lagu dan tarian,” katanya.
Pelatun lagu Bila Ku Merindu itu turut mengajar penonton berjoget dan berjaya menghiburkan mereka yang menyaksikan persembahan terbabit.
“Alhamdulillah masa pertunjukan saya pada sebelah petang semuanya berjalan lancar dan cuaca agak baik. Sebelum hujan pada sebelah malamnya. Boleh dikatakan festival ini berlangsung cukup meriah,” kata Rozita yang juga anak Allahyarham Seniwati Mariani Ismail dan H M Rohaizad.
Rozita juga berkesempatan bertemu dan diraikan komuniti Malaysia atau dikenali ACT Association of Malaysian Muslim Families (AMMF) di negara itu.
Katanya lagi, komuniti Melayu Malaysia di sana berminat untuk menjemputnya mengadakan persembahan sempena jamuan silaturahim persatuan itu pada akan datang.
“Sudah pasti saya sentiasa akan menyokong kegiatan aktiviti mengukuh pertalian antara rakyat Malaysia di luar negara,” katanya yang turut menjadi tetamu undangan di 3ZZZ Radio Brunswick yang menampilkan DJ Kathy dan DJ Ruhaya menerusi program Sesi Jaming bersama Rozita dan Musa di negara Kanggaru itu.
Mengenai festival itu lagi, difahamkan lebih 170 negara berkumpul mempamerkan bakat dan menyertai pelbagai aktiviti membabitkan bengkel, budaya, muzik, tarian, makanan dan banyak lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




