Kerajaan pertahan gubal Akta Pembaharuan Semula Bandar untuk bantu Melayu miskin

Kerajaan pertahan gubal Akta Pembaharuan Semula Bandar untuk bantu Melayu miskin

hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan kerajaan mahu menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang bertujuan memberi manfaat kepada pemilik asalnya.

Beliau berkata, status tanah berkenaan juga tidak akan berubah sama ada ia dimiliki individu perseorangan, milik kerajaan negeri atau di kawasan rizab Melayu.

Katanya, tindakan pihak yang menentang kerajaan menggubal akta berkenaan seolah-olah mahu masyarakat Melayu di bandar kekal hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.

“Paling mutahir kita bentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Parlimen baru-baru ini, tetapi mereka kata habislah orang Melayu, habislah hak orang Melayu.

“Lihat Kuala Lumpur, misalnya Flat Seri Perlis, saya lihat sendiri keadaannya kerana saya pergi ke situ. Dibina sekitar tahun 60-an, hampir 50 tahun di situ.

“Keadaannya usang, daif, hanya satu bilik. Di situ penduduk paling miskin. Disebabkan itu kita cadang untuk pindahkan ke flat di Jalan Tun Razak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Anwar berkata, beliau selaku pemimpin yang mempunyai kuasa merubah nasib rakyat di kawasan terbabit tidak akan membiarkan masyarakat di situ terus dihimpit kemiskinan.

Katanya, beliau juga tidak akan menjadikan suara sumbang yang mengkritiknya sebagai penghalang dalam meneruskan perubahan yang mahu dibawa Kerajaan Madani.

“Saya tengok keadaan itu, saya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tak akan saya nak biarkan begitu, kita nak bantu mereka.

“Semua penduduk setuju, tapi seorang tak setuju maka tak boleh bangunkan, kena bawa ke mahkamah. Kena bagi pampasan sedangkan pampasan walaupun tinggi tetapi lebih rendah dari nilai projek baharu.

“Bila kita bangunkan rumah asal yang nilai RM70,000 akan jadi RM300,000, kalau pampasan mungkin RM150,000.

“Kalau tanah itu rizab Melayu, kekal rizab Melayu. Kalau tanah kerajaan negeri, kekal milik kerajaan negeri, kalau strata kekal,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri dalam kenyataan berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan satu himpunan besar-besaran demi menunjukkan bantahan dan ketegasan dalam isu itu.

Katanya, Pemuda Pas akan terus berjuang bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan suara rakyat didengar dan dipertahankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top