Terima kasih McDonald's

Terima kasih McDonald's

Kuantan: Penerima sumbangan Kotak Rezeki bersyukur dan berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia di atas kesudian menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Pesakit kronik, Salasiah Hashim, 40, menyifatkan sumbangan Kotak Rezeki meringankan bebannya menyambut Ramadan akan datang ketika keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup semakin tinggi.

Selepas disahkan terdapat ketumbuhan dalam kepala lima tahun lalu dan menjalani pembedahan kehidupan dia berubah apabila tidak dapat melakukan kerja bagi menyara perbelanjaan menguruskan dirinya.

“Alhamdulillah, kebajikan saya terpelihara kerana pihak Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu tidak mengabaikan saya dengan selalu memberikan bantuan.

“Saya terharu kali ini, saya turut terpilih menerima bantuan dalam program TKHM yang saya anggap ia rezeki sempena bulan mulia ini.

“Terima kasih kepada semua, alhamdulillah adanya program macam ini boleh menjimatkan belanja golongan macam saya apatah lagi hendak menyambut Ramadan beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Muda Hassan, 70, berkata, bantuan Kotak Rezeki begitu bermakna buat dirinya yang tidak lagi mampu melakukan kerja selepas diserang angin ahmar sebelum ini selain menghidap asma.

“Saya bersyukur dan hanya mampu mengucapkan terima kasih pada Harian Metro dan McDonald’s Malaysia yang tidak pernah melupakan nasib golongan miskin dan warga emas.

“Usaha yang dilakukan McDonald’s Malaysia menerusi Kotak Rezeki diharap dapat menjadi contoh pada pihak lain untuk tampil membantu golongan miskin,” katanya yang menetap di Kampung Peramu.

Bagi Abdullah Awang, 68, yang menghidap asma tidak menyangka Harian Metro dan McDonald’s Malaysia tampil menghulurkan sumbangan berupa keperluan harian untuk golongan warga emas dan miskin.

“Saya mendoakan semoga Harian Metro dan McDonald’s Malaysia terus maju dalam perniagaan masing-masing dan dimurahkan rezeki seterusnya dapat terus menghulurkan sumbangan pada golongan yang memerlukan.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih pada Harian Metro dan McDonald’s Malaysia yang tidak mengabaikan tanggungjawab bersedekah,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top