Drama baru TikTok Malaysia

Drama baru TikTok Malaysia

georgie@hmetro.com.my

Buat pertama kalinya, TikTok Malaysia tampil dengan siri K-Drama pendek eksklusif berjudul Salju Di Busan yang menampilkan pelakon dan penyanyi, Khai Bahar dan Wany Hasrita sebagai teraju utama.

Uniknya, sembilan episod itu dibuat dalam format menegak sesuai untuk siaran di platform terbabit. Penggambarannya dibuat di Busan, Korea Selatan sewaktu musim sejuk dan menggabungkan budaya Korea dan Malaysia.

Khai berkata, 30, dia berbesar hati dapat menjayakan projek yang memberikan pengalaman baharu itu. Banyak ilmu berharga diperolehnya.

Dia mengakui paling seronok dapat berjumpa ramai orang menyenangkan termasuk pasukan produksi Red Communications.

“Buat kali pertamanya saya menjejakkan kaki di Busan. Ini pengalaman yang tak dapat saya lupakan sebab bila saya sampai di Korea saya dapat berjumpa dengan insan-insan yang sangat peramah dan semuanya berjalan lancar.

“Setiap saat menyeronokkan dan saya juga kali pertama merasakan cuaca sejuk sehingga negatif 6 darjah Celsius. Ia bagi saya paling mengujakan sebab saya kali pertama berlakon dalam cuaca sejuk sebegitu.

“Lebih unik juga adalah kami kena berlakon dengan rakaman kamera secara ‘vertical’ untuk siaran TikTok, drama konsep sebegini juga kali pertama di Malaysia,” katanya pada previu eksklusif Salju Di Busan, di TikTok Malaysia, di sini.

Sementara itu, Wany, 33, turut teruja dengan pengalaman ke Busan buat kali pertama. Dia tidak menafikan berdepan kesulitan menempuh cuaca sejuk pada awalnya.

Bagaimanapun, dia dapat sesuaikan diri dalam beberapa hari saja sekali gus memudahkan perjalanan penggambaran. Dia turut memuji kerjasama efisyen semua pihak yang terbabit.

“Sebelum ini saya pernah merakamkan muzik video di Jeju tapi tak pernah ke Busan, jadi ia kali pertama apatah lagi dengan Khai dan pasukan produksi yang hebat. Saya sebenarnya berbangga dapat bekerjasama dengan Red Communications.

“Cara bekerja mereka sangat laju dan efisyen walaupun dalam cuaca sejuk. Saya hampir emosional pada dua hari pertama sebab baru nak menyesuaikan diri dengan cuaca.

“Saya rasa semua orang kesejukan tapi lama-lama semuanya dapat menyesuaikan diri dan ini adalah pengalaman baru buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Red Communications, Lina Tan, yang juga selaku penerbit berkata, projek Salju Di Busan penting sebagai perintis kepada format baharu penerbitan produksi.

Secara peribadi, dia teruja dapat meneroka lagi corak berbeza dalam menghasilkan drama.

Katanya antara cabaran nyata adalah untuk memastikan setiap babak diinginkan muat dalam format menegak.

“Dengan pengalaman 25 tahun dalam penerbitan filem, kami mengalu-alukan masa depan hiburan dengan menghasilkan kandungan yang relevan untuk penonton masa kini.

“Penceritaan dalam format pendek bukan sekadar trend, ia adalah cara rakyat Malaysia dan penonton serantau menikmati hiburan. Dari segi keseluruhan produksi, sama saja ketelitiannya seperti drama biasa.

“Tapi untuk projek ini, kami kena lebih teliti untuk setiap shot agar betul-betul masuk ‘frame’ sepenuhnya,” katanya.

Salju Di Busan mengisahkan perjalanan pempengaruh bernama Hanna lakonan Wany, yang memiliki sifat bersemangat tinggi. Dia diduga apabila kalah mengejut dengan Omar (Khai) dalam sebuah pertandingan.

Insiden itu berlaku sewaktu mereka dipertemukan dalam Cabaran Nongshim Spicy Ramyun peringkat serantau. Omar mara ke pusingan akhir di Busan, namun Hanna curiga dengan kemampuannya menahan kepedasan.

Dalam pencariannya membuktikan sesuatu, Hanna akhirnya menemui sesuatu yang lebih bermakna iaitu persahabatan, semangat kesukanan, dan pengalaman luar biasa menyaksikan salji turun di Busan.

Siri ini turut menampilkan lagu tema berjudul Makan Cintaku, duet oleh Khai dan Wany yang menggambarkan emosi sepanjang drama ini.

Salju Di Busan ditayangkan secara eksklusif di akaun TikTok Nongshim Malaysia mulai 3 Mac depan. Projek itu adalah kerjasama Nongshim Shin Ramyun, jenama mi segera pilihan utama di Korea Selatan, bersama TikTok Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top