Washington: Pengarah FBI yang baru dilantik, Kash Patel, sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk jurulatih dari Ultimate Fighting Championship (UFC) bagi meningkatkan kemahiran seni mempertahankan diri dan pertahanan ejen-ejen FBI, menurut sumber yang mengetahui perbincangan berkenaan.
Patel membentangkan idea itu dalam panggilan video pertamanya bersama 55 ketua pejabat lapangan FBI pada Rabu lalu.
Dua sumber memaklumkan bahawa beberapa ejen FBI menyifatkan cadangan itu sebagai ‘tidak masuk akal’ dan ‘pelik.
FBI enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
Presiden Donald Trump adalah peminat sukan seni bela diri campuran (MMA) dan pernah menghadiri acara UFC di New York beberapa hari selepas kemenangan pilihan rayanya pada November.
Trump juga dikenali sebagai rakan rapat Presiden UFC, Dana White.
Seorang pegawai UFC berkata, mereka ‘tidak mengetahui sebarang maklumat berkaitan latihan antara UFC dan FBI’.
Dalam panggilan berkenaan, Patel berkata, cadangan ini diinspirasikan oleh Dan Bongino, seorang podcaster berhaluan kanan yang dilantik Trump sebagai timbalan pengarah FBI.
Patel menyifatkan latihan UFC sebagai sesuatu yang hebat dan sedang meneroka kemungkinan kerjasama antara FBI dan UFC.
“FBI memang mempunyai latihan berkaitan pertempuran fizikal. Jika Patel merasakan ia perlu diperkukuh, penyelesaiannya bukanlah dengan mendapatkan rakan baik Donald Trump yang mengendalikan UFC,” kata seorang bekas pegawai Jabatan Kehakiman.
Beliau turut menambah, ‘Ia jelas bermotifkan glamor dan hubungan peribadi Trump.
Namun, masih tidak jelas bagaimana kerjasama itu akan dilaksanakan.
Sejak mengambil alih jawatan minggu lalu, Patel menggugat struktur FBI dengan memindahkan kira-kira 1,500 kakitangan dari Washington ke pejabat lapangan di seluruh negara, termasuk Huntsville, Alabama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




