norhayati_nordin@hmetro.com.my
Sepang: Pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, tetap dengan keputusan mengaku tidak bersalah atas kesalahan memiliki dadah jenis kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Disember tahun lalu.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad berkata, dia akan memberi kerjasama yang baik untuk pertuduhan kes dihadapinya walaupun akan melalui perbicaraan yang panjang.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Sepang di sini, hari ini menetapkan sebutan semula dan serahan dokumen kes Along membabitkan tiga pertuduhan memiliki dadah pada 7 April depan.
Majistret, Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan laporan kimia berhubung kes berkenaan sudah diperoleh.
Along diwakili peguam, Syed Yusof Syed Zaid, manakala pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Sutri Patang.
Menurut Along ketika ditemui, dia tak akan mengalah dan akan melawan kes itu dengan memberikan kerjasama yang sebaiknya.
“Saya akan memberikan kerjasama yang penuh, Insya- Allah,” katanya selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Along kelihatan tenang ketika hadir ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir, 64, dan Syed Yusof.
Pada prosiding itu, Along kekal dengan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 1.49 gram dadah jenis kanabis.
Pada 14 Disember tahun lalu, Along didakwa memilki dadah di kediamannya di Cyberjaya di sini pada pukul 3.10 petang.
Bagi kesalahan itu, Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskannya atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Along kemudiannya dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan masing-masing memiliki dan memasukkan dadah.
Di Mahkamah Majistret ketika itu, Along Cham berdepan pertuduhan memiliki kanabis seberat 49.61 gram dan mengambil dadah tetra hydrocannibol (THC) pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Sebelum ini, Along didakwa atas tuduhan memiliki dadah seberat 58.23 gram.
© New Straits Times Press (M) Bhd




