lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaecoo Malaysia melancarkan model J7 PHEV yang menambah varian model itu ke dalam pasaran tempatan selepas pengenalan model J7 sebelum ini.
Naib Presidennya, Emily Lek berkata, model ini direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang masih ragu-ragu untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik (EV) dengan menawarkan model kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV).
“Model ini menggabungkan prestasi dan kecekapan bahan api menerusi teknologi Super Hybrid System yang dapat meningkatkan standard kenderaan hibrid di Malaysia sambil menyokong matlamat negara dalam peralihan tenaga yang lebih mampan,” katanya ketika majlis pelancaran di sini, hari ini.
J7 PHEV dilengkapi dengan sistem hibrid pintar yang terdiri daripada tiga komponen utama iaitu, enjin petrol suntikan terus 1.5L Turbo Generasi Ke-5 yang mampu menjana 141 kuasa kuda (hp) dan tork 215Nm.
Enjin ini dilengkapi teknologi Deep Miller Cycle dan pengurusan haba pintar untuk meningkatkan kecekapan bahan api.
Ia juga dengan transmisi hibrid satu kelajuan yang membolehkan kenderaan beroperasi dalam mod elektrik sepenuhnya pada kelajuan rendah, selain berkeupayaan untuk pecutan dari 0-100km/h dalam masa 8.5 saat.
Komponen ketiga ialah bateri voltan tinggi 18.3kWh yang menggunakan reka bentuk 106-cell Lithium Iron Phosphate Blade, terkenal dengan ketahanan dan jangka hayat mencecah 1 juta kilometer (km).
J7 PHEV menyokong pengecasan pantas DC yang membolehkan bateri dicas dari 30 peratus ke 80 peratus dalam masa hanya 20 minit dengan pengecas 40kW.
‘
Sistem hibrid ini membolehkan ia mencapai jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,300km (NEDC) dengan sekali cas dan tangki penuh, serta jarak pemanduan elektrik tulen sejauh 106 km (NEDC) dengan penggunaan bahan api hanya 4.77L/100km.
J7 PHEV ditawarkan pada harga RM158,800 dengan tujuh tahun waranti pengeluar atau 150,000 km untuk kenderaan, serta waranti 8 tahun atau 160,000 km bagi bateri, motor kuasa dan unit kawalan motor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




