Manchester: Harapan Manchester City untuk merangkul trofi musim ini kini bergantung sepenuhnya pada Piala FA menjelang kunjungan Plymouth dari Liga Kejuaraan pada Ahad ini, sementara penyandang juara, Manchester United, juga memerlukan kejuaraan bagi menyelamatkan kempen yang suram.
Dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Tottenham tersingkir, laluan kini terbuka luas bagi gergasi Manchester yang sudah bertemu di final pada dua tahun terakhir.
Brighton, Newcastle dan Crystal Palace adalah antara kelab lain yang turut mendambakan kejayaan di Wembley pada 17 Mei nanti.
Crystal Palace, dua kali naib juara Piala FA, belum pernah memenangi trofi utama tetapi mereka kini memasuki prestasi terbaik pada waktu yang tepat jika ingin mara ke Wembley tahun ini.
Di bawah bimbingan Oliver Glasner, Palace memenangi tujuh daripada sembilan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, termasuk kemenangan besar 4-1 ke atas Aston Villa baru-baru ini.
Jean Phillippe Mateta, yang sedang dalam rentetan lapan gol dalam sembilan perlawanan, membantu Eagles meluncur jauh dari masalah penyingkiran dan kini berada di tempat ke-12 EPL.
Mereka akan berhadapan dengan pasukan Liga Kejuaraan, Millwall dalam pertembungan seteru tetangga yang berhasrat merosakkan cita-cita mereka.
Plymouth mencipta kejutan besar pada pusingan keempat apabila menewaskan Liverpool 1-0 di Home Park.
Hadiah bagi mereka adalah perlawanan di Stadium Etihad dan peluang untuk mencipta kejutan besar sekali lagi.
Pengurus Plymouth, Miron Muslic, menjadi sensasi internet selepas video ucapan motivasinya menjadi tular, dan kini beliau tidak sabar untuk bertemu dengan idolanya, Pep Guardiola.
“Ia adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya,” kata Muslic.
“Saya sangat menantikan untuk bersalam dengan beliau dan memberitahunya bahawa beliau adalah gergasi dalam sukan kita dan seorang idola besar bagi setiap jurulatih di dunia.”
Salah satu perlawanan paling menarik pada pusingan ini menyaksikan pasukan di tangga keenam EPL bertemu kelab di tempat kelapan.
Newcastle sudah mempunyai satu final untuk dinantikan bulan depan menentang Liverpool dalam Piala Liga.
The Magpies tidak memenangi trofi utama selama 56 tahun, namun mereka tidak boleh membiarkan kejayaan atau kegagalan musim ini bergantung pada pertembungan dengan pasukan pilihan juara EPL.
Brighton pula mencatatkan empat kemenangan berturut-turut selepas melalui tempoh sukar di musim pertama Fabian Hurzeler sebagai pengurus.
Mereka menang di St James’ Park awal musim ini dan sering menunjukkan aksi terbaik menentang lawan yang kuat.
Tahap kecergasan penyerang Newcastle, Alexander Isak, yang meledak 21 gol, akan menjadi penentu besar dalam perlawanan ini, selepas terlepas aksi ketika kekalahan 0-2 di Liverpool kerana kecederaan pangkal paha.
United menyelamatkan kempen mereka yang kacau bilau musim lalu dengan menewaskan City untuk merangkul Piala FA, namun sukar untuk melihat pasukan di bawah bimbingan Ruben Amorim mengulang kejayaan itu kali ini.
Walaupun begitu, Red Devils menunjukkan semangat juang ketika menewaskan Ipswich 3-2 pada Rabu lalu meskipun Patrick Dorgu dibuang padang pada separuh masa pertama, hanya kemenangan ketiga mereka dalam 11 perlawanan liga.
Fulham kini berada lima tangga lebih tinggi dan sembilan mata di atas United dalam Liga Perdana, tetapi mereka tewas dalam kedua-dua pertemuan dengan United 1-0 musim ini.
The Cottagers bukan sahaja ingin membalas dendam atas kekalahan itu, tetapi juga untuk membalas dendam atas pertemuan kontroversi suku akhir Piala FA dua tahun lalu di Old Trafford.
Fulham mendahului 1-0 dengan 15 minit lagi sebelum kapten Aleksandar Mitrovic, Willian, dan pengurus Marco Silva dibuang padang selepas bola terkena tangan Willian di garisan gol.
United kemudiannya menang 3-1, dan Mitrovic dikenakan penggantungan lapan perlawanan kerana menolak pengadil Chris Kavanagh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




