'Jumpa rakan senegara lebih susah' – Aaron

'Jumpa rakan senegara lebih susah' – Aaron

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yakin mereka mampu menampilkan corak permainan lebih konsisten pada saingan Orleans Masters dan Seluruh England yang akan bermula awal bulan depan.

Bagi Aaron, mereka tidak akan menampilkan gaya permainan baharu, sebaliknya menajamkan ‘senjata’ yang sudah ada sekali gus memenangi perlawanan.

“Sebenarnya gaya permainan ini kita ada guna dalam pertandingan sebelum ini. Cuma bezanya tak konsisten dan kita berharap kali ini, di dua kejohanan akan datang, kita akan lebih konsisten dengan gaya permainan itu.

“Sebabnya, itu pun adalah salah satu kekuatan kami,” katanya yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya adakah kecederaan pergelangan tangan kanannya akan mengganggu gaya permainannya, Aaron memaklumkan ia tidak akan menjejaskan keseluruhan prestasinya di dalam gelanggang.

Selain itu, dia juga melihat prestasi wakil negara bagi beregu lelaki juga semakin baik dan itu sudah pasti akan memberi kelebihan lebih tinggi untuk mencipta kejayaan.

“Kecederaan saya ini bukan perkara baru, tetapi sudah lama dan ia akan datang sekali sekala. Jadi pada saya, perkara ini tidak akan mengganggu permainan saya bersama Wooi Yik.

“Untuk beregu lelaki, kita ada ramai wakil yang akan beraksi di Seluruh England. Kita ada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang prestasi mereka tengah berada di kemuncak ketika ini sementara Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula baru lepas menjuara Indonesia Masters.

“Jadi pada saya, kalau bertemu rakan senegara lagi susah berbanding berjumpa lawan dari negara lain,” kata Aaron.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik pernah muncul naib juara Seluruh England pada 2019 serta tahun lalu

Untuk kejohanan berprestij, Seluruh England itu akan berlangsung dari 11 hingga 16 Mac itu memperlihatkan Malaysia mempunyai tujuh pasangan di mana empat daripadanya adalah daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Manakala tiga lagi adalah wakil profesional iaitu beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Kehadiran ramai wakil negara itu bakal membuka peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 tahun dalam acara berkenaan sejak gandingan Koo Kiean Keat-Tan Boon Heong muncul juara pada 2007.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top