Ibu kepada Allahyarham Zulfarhan iaitu Hawa Osman kelihatan sebak dan sugul ketika keputusan mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dibacakan hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, Hawa yang ditemani suaminya, Zulkarnain Idros, 61, bagaimanapun reda dengan keputusan tersebut dan menghormati sistem kehakiman negara.
“Jika mereka (tertuduh) datang minta maaf, saya sedia maafkan tapi hakikatnya arwah tak akan hidup kembali lagi, lebih-lebih lagi bila kami dapat tahu mereka akan keluar penjara empat tahun daripada sekarang.
“Keluarga tertuduh ada datang minta maaf hari ini dan mengatakan mereka pun tidak reda dengan perbuatan anak dia buat ke atas Zulfarhan, jadi kami pun tak reda perbuatan anak mereka terhadap arwah.
“Saya serah kepada Allah SWT dengan keputusan, saya pun rasa terkilan tetapi saya tahu Timbalan Pendakwa Raya kita sudah buat yang terbaik, tetapi Allah lagi berkuasa,” katanya.
Meskipun sudah memaafkan, pihak keluarga arwah mengaku sakit kehilangan anak tetap akan dirasai apatah lagi perlu kuat semangat menjalani kehidupan demi maruah Zulfarhan.
“Saya reda mungkin ada hikmah juga dengan keputusan ini.
“Saya maafkan 90 peratus, namun 10 peratus lagi kami simpan sebab kami tahu arwah tak salah.
“Jika mereka nak jumpa, saya nak buat macam mana, tetapi saya akan minta mereka minta maaf dengan arwah, sebab jika saya maafkan sekali pun arwah tidak akan hidup lagi,”jelasnya.
Dalam pada itu bapa arwah, berharap tertuduh tidak datang berjumpa dengannya sebaik sahaja bebas.
Ini kerana, dia tidak mahu luka lama berdarah kembali.
“Lebih baik tidak datang, takut luka lama berdarah kembali, luka yang ada ini sudah sembuh tapi parut tetap ada.
“Ini yang terbaik untuk ketenangan kedua-dua pihak,” ujarnya.
Terdahulu, Enam bekas pelajar UPNM terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati kerana menyebabkan kematian Zulfarhan, lapan tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:Kes B*nuh Zulfarhan: 6 Bekas Pelajar UPNM Terlepas Hukuman G*ntung Sampai M*ti, Kekal Jalani Penjara 18 Tahun
ARTIKEL BERKAITAN:Bapa Arwah Zulfarhan Mengaku Pernah Ambil Tindakan Saman Terhadap UPNM
ARTIKEL BERKAITAN:Rita Rudaini Dakwa Tindakan SUHAKAM Tidak Adil? – “Mana Hak Asasi Arwah Zulfarhan?”
ARTIKEL BERKAITAN:Ibu Arwah Zulfarhan Osman Mahu Bomoh Terima Hukuman Setimpal – “Saya Nak Biar Dia Rasa Apa Yang Anak Saya Rasa”
Sumber: Harian Metro




