Muzamiryusri.muzamir@bh.com
PEDIH hulu hati, najis berdarah, sakit perut yang teruk, sembelit dan cirit-birit antara kerap berlaku disebabkan tidak mengamalkan gaya hidup sihat sehingga boleh mengganggu kelancaran berpuasa sepanjang Ramadan.
Berpuasa sebenarnya memberi banyak manfaat dari sudut kesihatan antaranya bertujuan merehat dan memulihkan sistem pencernaan.
Malah, penjagaan sistem pencernaan juga sangat penting bagi mengukuhkan sistem imun badan dan mengelak masalah penghadaman, khususnya ketika berpuasa.
Makanan akan dipecahkan kepada nutrien melalui proses pencernaan sekali gus menyebabkan badan berdepan masalah jika ia tidak dijaga sebaiknya.
Bagaimanapun, kelancaran aktiviti harian dan puasa sepanjang Ramadan akan terganggu jika tidak menjaga sistem pencernaan dengan baik.
Kaitan sistem penghadaman
Pakar Perunding Gastroenterologi
dan Hepatologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sheikh Anwar Abdullah, berkata proses pencernaan lazimnya berlaku bagi menyuburkan sel untuk memastikan badan bertenaga dan ia terjadi di dalam saluran gastrointestinal dengan pelbagai fungsi.
Katanya, sistem penghadaman antara lain digelar ‘otak kedua’ oleh pakar perubatan, mempunyai sistem saraf berautonomi, iaitu sistem saraf enterik yang memiliki lebih banyak neurotransmitter berbanding otak.
Neurotransmiter, sistem penghadaman menghasilkan 95 peratus serotonin, iaitu hormon mempengaruhi emosi dan turut digunakan dalam proses penghadaman.
“Oleh itu, amalan berpuasa antara lain membantu pesakit mengawal masalah refluks, iaitu asid dari perut naik ke atas. Ini kerana berpuasa menurunkan asid dalam perut, sekali gus gejala refluks akan berkurangan,” katanya.
Makan karbohidrat kompleks
Dalam tempoh berpuasa organ pankreas juga akan kurang menghasilkan enzim berikutan tiada makanan, selain jus hempedu menjadi lebih pekat dan ia akan membantu ketika berbuka puasa.
Justeru, katanya, pengambilan
makanan terdiri daripada karbohidrat kompleks ketika bersahur mampu membekalkan tenaga lebih banyak bagi tempoh enam jam, sebelum glikogen tersimpan di hati diubah kepada glukosa bagi meneruskan proses sama.
Penjanaan tenaga kemudian diteruskan lagi melalui proses pembakaran lemak dalam tubuh yang antara lain membantu menyumbang kepada penurunan berat badan.
“Penjagaan saluran gastrointestinal yang betul adalah menerusi pengambilan diet makanan sihat dan minum air secukupnya,” katanya.
Panduan makanan untuk puasa
Individu digalakkan minum air antara lapan hingga 12 gelas sehari yang boleh diambil selepas waktu sehingga waktu sahur.
Amalan berkenaan pula perlu
seimbangkan dengan senaman untuk memastikan sistem pencernaan lebih sihat.
“Serat akan menarik kuantiti air mencukupi
ke dalam usus besar bagi membentuk najis lebih lembut, sekali gus mengelak masalah sembelit.
“Pengambilan karbohidrat kompleks, makanan tinggi serat dan kaya dengan bijirin, sayur-sayuran, kekacang serta buah-buahan boleh meningkatkan kesihatan pencernaan, bukan sahaja ketika berpuasa tetapi hari biasa.
“Ini kerana makanan tinggi serat membantu menjaga pergerakan makanan melalui saluran penghadaman, mengurangkan kecenderungan masalah sembelit.
“Ia juga membantu mencegah atau merawat pelbagai keadaan pencernaan, seperti divertikulosis, buasir dan sindrom usus besar (IBS), selain mendorong mendapatkan atau mengekalkan berat badan ideal,” katanya.
Elak alami kejutan
Dr Sheikh Anwar berkata, orang ramai tidak digalakkan makan lewat malam, tiga jam sebelum tidur bagi mengelak sistem penghadaman terus bekerja ketika tidur.
Keadaan itu katanya, boleh menyebabkan asid tambahan terhasil, sekali gus memberi kesan kepada sistem penghadaman serta pencernaan seperti refluks, pedih hulu hati atau senak perut.
Pengambilan kopi dan minuman bikarbonat atau manis juga tidak digalakkan kerana ia menyebabkan badan mengalami dehidrasi.
“Selain itu, jangan sesekali makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa ketika menikmati juadah berbuka.
“Seeloknya berbuka dengan kurma dan air kosong terlebih dahulu, kemudian solat maghrib sebelum menikmati juadah lengkap yang disediakan bagi mengelakkan perut mengalami kejutan.
“Kunyah makanan dengan perlahan, sebaiknya mengikut sunnah kerana ia memberi perut bersedia mencerna nutrien dan membolehkan tubuh serta otak memberitahu anda sudah kenyang,” katanya.
Kanak-kanak berpuasa
Sementara itu, bagi kanak-kanak yang berpuasa, ibu bapa perlu mempersiapkan mereka dari segi mental dan fizikal terutama yang baru pertama kali mencuba.
Selepas beberapa hari berpuasa mereka sudah dapat melihat trend bagaimana menghadapi situasi itu.
Dr Sheikh Anwar berkata, kanak-kanak berusia lima dan enam tahun boleh terus digalakkan berpuasa antara tiga hingga empat hari.
Info: Amalan ketika bersahur
Amalan ketika berbuka puasa
© New Straits Times Press (M) Bhd




