NEW DELHI: India semalam mengumumkan langkah memperluas vaksinasi COVID-19 kepada seluruh golongan dewasa, bermula bulan depan.
Tindakan itu diambil ketika India bergelut dengan rekod lonjakan jangkitan yang menyaksikan ibu kota negara ini terpaksa dikenakan perintah berkurung selama seminggu.
Namun, arahan perintah berkurung itu membawa kepada kesesakan di terminal bas utama di New Delhi berikutan puluhan ribu pekerja migran cuba untuk ‘melarikan diri’ daripada sekatan terbabit – sekali gus mencetuskan kebimbangan akan risiko mereka membawa penularan virus itu ke kampung halaman masing-masing di kawasan pedalaman.
Ketika ini, India mengehadkan pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan berumur 45 tahun ke atas, selepas memulakan program imunisasi pada pertengahan Januari lalu dan telah menyelesaikan lebih 123 juta suntikan, setakat ini.
Bagaimanapun, pakar menggesa pelaksanaan program imunisasi itu diperluaskan dengan lebih cepat lagi untuk memerangi lonjakan kes yang terus memberi tekanan besar ke atas sistem penjagaan kesihatan India yang sedia menanggung beban berlebihan ketika ini.
Angka harian jangkitan COVID-19 di India mencatat rekod baharu 273,810 kes, semalam, menjadikan jumlahnya kini mencecah 15.06 juta, iaitu kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).
“Dalam mesyuarat dipengerusikan (Perdana Menteri) Narendra Modi, satu keputusan penting dibuat untuk membenarkan vaksinasi terhadap setiap penduduk berumur 18 tahun ke atas, mulai 1 Mei depan,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Pengeluar vaksin perlu membekalkan 50 peratus dos vaksin kepada kerajaan pusat, manakala separuh lagi kepada kerajaan negeri dan pasaran terbuka.
Pengumuman vaksinasi itu menyusul selepas New Delhi – bandar paling terkesan dengan wabak COVID-19 di India – mengarahkan penguatkuasaan perintah berkurung selama seminggu, bermula malam tadi.
Bandar mega dengan kepadatan 20 juta penduduk itu bergelut untuk mengekang penularan virus berkenaan yang menyaksikan hospital sudah kehabisan katil dan berdepan kekurangan bekalan oksigen untuk pesakit.
New Delhi melaporkan 23,686 kes baharu, semalam, dengan lebih satu per empat daripada mereka yang menjalani ujian saringan dikesan positif. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




