MELAKA: Seorang lelaki terselamat tanpa sebarang kecederaan meskipun kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok selepas melalui lopak air di Jalan Taman Pertam Jaya di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kereta Mercedes Benz E30 yang dipandu mangsa berusia 34 tahun itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan akibat impak pelanggaran.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan tukang elektrik sedang memandu dari Semabok ke Ujong Pasir, sebelum melanggar lopak air di laluan berkenaan.
âSebaik tiba di satu jalan lurus, kenderaan mangsa hilang kawalan lalu merempuh pokok di tengah pembahagi jalan sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan.
âMangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,â katanya.
Tambah Christopher, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.-UTUSAN