Nadiya Nisaa tak berani berlakon filem seram

Nadiya Nisaa tak berani berlakon filem seram

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber, Nadiya Nisaa, 40, tidak akan melakonkan watak hantu dalam filem seram dibintanginya kerana diselubungi perasaan takut dan lemah semangat.

Nadiya berkata, dia sebenarnya enggan berlakon filem seram lagi selepas pembabitannya dalam filem Harum Malam dua tahun lalu.

“Saya seorang yang penakut dan cepat lemah semangat. Jadi, saya tidak mahu lagi berlakon dalam filem seram selepas Harum Malam dulu. Cukup-cukuplah tu.

“Saya memang ikutkan tak mahu lagi masuk ke dalam dunia itu (mistik). Tapi, selepas pengalaman pertama dengan filem Harum Malam, saya nampaknya terasa lebih dekat (dengan kisah hantu dan seram),” katanya.

Nadiya yang ditemui di sidang media filem Polong arahan Zulkarnain Azhar berkata, dia bagaimanapun tidak dapat menolak tawaran filem itu kerana pihak produksi maklumkan watak untuknya amat sesuai.

“Saya bukan melakonkan watak antagonis dalam filem Polong ini, tapi watak yang baik. Cuma, saya kalau boleh nak juga watak jahat, tapi tak sesuai pula nanti. Tapi, saya cubalah buat yang terbaik.

“Insya-Allah, saya juga yakin filem Polong adalah sebuah filem yang bagus jalan ceritanya, skrip berkualiti dan kredibiliti pengarah juga terbaik untuk menerajui projek ini. Doakan ia berjalan lancar,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah mengalami sebarang kejadian mistik di lokasi penggambaran sebelum ini, Nadiya bersyukur tidak ada pengalaman berhadapan perkara seram dan menakutkan.

“Saya tak ada apa-apa pengalaman (menakutkan) lagi. Cuma, memang sejak kecil saya dah jadi seorang yang penakut. Bila dah tahu diri cepat lemah semangat, kita tak mahulah bermain dengan benda itu (mistik).

“Selain itu, saya juga selama ini tidak menonton sangat filem seram kerana bimbang akan terbawa-bawa di rumah. Apapun, ketika berlakon saya memang selalu berjaga-jaga dan minta doa pelindung daripada ustaz,” katanya.

Dalam filem Harum Malam sebelum ini, Nadiya berganding dengan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Datuk Remy Ishak, Idan Aedan dan ramai lagi.

Bagi filem Polong yang akan memulakan penggambaraan pada Mei depan, Nadiya berlakon di samping Nam Ron, June Lojong, Fad Anuar dan ramai lagi yang diinspirasi daripada kisah benar.

Filem Polong terbitan Golden Star Pictures (GSP) itu mengangkat tema kisah berkaitan dosa silam, legasi serta akibat yang tidak dapat dielak kesan daripada menggunakan amalan ilmu hitam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top