First Grade komited untuk perkukuh kredibiliti

First Grade komited untuk perkukuh kredibiliti

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: First Grade Resources Sdn Bhd (First Grade), pengilang peralatan asal (OEM) milik penuh Bumiputera kini berada dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Ahli Kimia Bertauliah (Certified Chemist) daripada Institut Kimia Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukhlis Zulkifli berkata, pengiktirafan itu dijangka diperoleh pada akhir bulan ini dan akan memperkukuhkan lagi kredibiliti syarikat dalam pembangunan formulasi produk yang lebih inovatif.

Katanya, syarikat juga merancang memperoleh pensijilan Good Laboratory Practice (GLP), piawaian antarabangsa dalam memastikan kebolehpercayaan dan kualiti makmal dalam menjalankan penyelidikan dan ujian.

“Sebagai memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, syarikat juga sudah melabur sehingga RM25 juta untuk membangunkan kilang kami di Jalan Junjong, Kulim, Kedah.

“Ia bukan sekadar menandakan pembukaan rasmi fasiliti baharu First Grade, tetapi turut memperkenalkan galeri eksklusif yang mempamerkan sampel produk hasil inovasi pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) syarikat ini kepada pelanggan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kilang pengeluaran berasaskan OEM itu nanti adalah untuk mengeluarkan produk minuman dan kosmetik membabitkan kawasan seluas 1.2 hektar yang dapat menampung keperluan jumlah permintaan tinggi daripada pelanggan.

Katanya, bagi penghasilan produk di kilang lama, syarikat hanya dapat menghasilkan sebanyak 100,000 unit produk dalam masa sebulan disebabkan kekurangan mesin serta tempat penyimpanan.

“Namun dengan adanya peralatan dan teknologi baharu di kilang baharu ini, proses pembuatannya semakin cepat mampu meningkat kepada 50,000 unit seminggu,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian Industrial Revolution 5.0, syarikat juga merancang untuk meningkatkan penggunaan teknologi canggih dalam pemprosesan, namun masih mengekalkan sentuhan manusia dalam kawalan kualiti dan inovasi produk.

“Dengan kombinasi automasi pintar dan kreativiti manusia, First Grade bersedia untuk membawa industri pengilangan tempatan ke tahap lebih maju,” katanya.

First Grade memulakan operasinya sejak 2008, bermula dari premis kecil sehingga kini memiliki kilang sendiri, dan syarikat ini menerima sambutan luar biasa sehingga berjaya berkembang pesat dan kini mempunyai 200 pekerja dengan dua cawangan, masing-masing di Kulim dan Jitra.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top