Sultan Pahang zahir kebimbangan pencemaran udara di Balok Baru

Sultan Pahang zahir kebimbangan pencemaran udara di Balok Baru

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan kebimbangan terhadap pencemaran udara yang berlaku di kawasan Balok Baru, di sini.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, justeru, baginda berharap semua penduduk yang tinggal di situ serta kawasan sekitar terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan lebih berhati-hati supaya tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara.

“Baginda turut menitahkan kegiatan luar juga dihentikan buat masa ini bagi mengelak daripada dijangkiti sebarang masalah kesihatan termasuk aktiviti pelajar sekolah di kawasan berkenaan.

“Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka terutama ketika musim cuaca panas dan berangin ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Berdasarkan status jam 9 pagi ini, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Balok Baru merekodkan kategori tidak sihat iaitu 188.

Pencemaran itu kesan daripada kebakaran yang berlaku di ladang kelapa seluas 75.67 hektar di kawasan Balok Baru yang terbakar sejak 22 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim dalam kenyataan semalam berkata, kebakaran di kawasan seluas 66.773 hektar sudah dipadamkan manakala operasi pemadaman sedang dipertingkatkan bagi baki 8.903 hektar.

“Secara keseluruhannya seramai 103 pegawai dan anggota JBPM dan agensi sahabat terbabit operasi pemadaman antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan kerja Raya (JKR),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top