mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC tidak boleh terlalu selesa walaupun gelaran naib juara Liga Super seakan sudah menjadi milik mereka menerusi kelebihan lapan mata berbanding pencabar terdekat, Sabah FC.
Skuad The Red Giants ketika ini menghimpun 43 mata sementara Sabah FC yang dilihat sebagai pencabar bagi gelaran naib juara mengutip 35 mata dengan kedua-dua pasukan masih memiliki baki tiga perlawanan untuk diharungi.
Penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mengingatkan rakan sepasukan supaya dapat terus mengekalkan fokus sehingga penghujung musim bagi memastikan gelaran naib juara yang dimenangi musim lalu dapat dipertahankan.
“Ada beberapa perlawanan lagi jadi kita tidak boleh ambil mudah dalam baki perlawanan yang ada itu. Kita perlu tetap meraih kemenangan supaya dapat kekal di tangga kedua.
“Saya harap rakan sepasukan dapat terus memberikan yang terbaik sehingga penghujung musim nanti. Selepas seri pada aksi sebelum ini, kita perlu bangkit,” katanya.
Selangor akan berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 8 Mac sebelum ke Kuching untuk berdepan Kuching City FC.
Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi akan menutup kempen berdepan Terengganu FC (TFC) di laman sendiri.
Sebagai rekod, gelaran naib juara Liga Super akan memberi peluang kepada Selangor beraksi di pentas Asia sekali lagi, sekiranya Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan Piala Malaysia pada musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




