Indonesia rampas lebih 1.2 tan dadah pada Februari

Indonesia rampas lebih 1.2 tan dadah pada Februari

Jakarta: Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia merampas lebih 1.2 tan dadah dan menahan 37 individu pada Februari, sebagai sebahagian daripada tindakan berterusan membanteras pengedaran dadah.

BNN dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa dadah yang dirampas termasuk 201.29 kilogram (kg) methamphetamine, 894.33 kg ganja, dan 115.21 kg pil ekstasi, selain 16 kereta, empat motosikal, serta sebuah bot tradisional.

Satu daripada operasi terbesar bulan itu berlaku pada 20 Februari apabila pegawai BNN di Sumatera Utara memintas 433 kg ganja yang diseludup dari Aceh ke Medan, dengan empat suspek ditahan.

Pada 1 Februari lalu di Aceh, anggota BNN memintas bungkusan mengandungi 1 kg methamphetamine yang disorok dalam mesin pembersih hampagas yang dijadualkan dihantar ke Palu, Sulawesi Tengah.

Operasi itu membawa kepada penahanan dua suspek manakala seorang lagi masih bebas, menurut BNN.

Selain serbuan dadah, agensi itu turut membongkar operasi pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan jenayah dadah, merampas aset bernilai 25 bilion Rupiah (kira-kira AS$1.6 juta) dalam empat siasatan yang dijalankan sejak Oktober 2024.

“BNN kini sedang menyiasat 12 kes pengubahan wang haram membabitkan 13 suspek, dengan anggaran nilai keseluruhan aset yang dirampas mencecah 100 bilion Rupiah (kira-kira AS$6.41 juta),” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top