am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang lelaki berusia 22 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Kuantan dari Jambatan Putra di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan laporan, lelaki yang bekerja di sebuah kilang di Gebeng, di sini, dikatakan terjatuh pada jam 10.43 malam.
Katanya, kejadian itu disedari selepas saksi melihat sebuah motosikal dalam keadaan enjin masih hidup dan tiada pemilik di atas jambatan.
“Saksi berasa curiga dan terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bermula jam 11.30 malam tadi dengan bantuan agensi penyelamat.
“SAR membabitkan polis, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang memulakan pencarian di sepanjang Sungai Kuantan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dua anjing pengesan, Frankie dan Denti dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut terbabit dalam operasi berkenaan.
Katanya, operasi turut dibantu anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuantan.
“Kawasan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor termasuk di sekitar tebing sungai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




