Trio segmen 3 Pagi Era antara 6 individu diambil keterangan hari ini

Trio segmen 3 Pagi Era antara 6 individu diambil keterangan hari ini

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam individu termasuk penyampai radio EraFM akan diambil keterangan berhubung dakwaan mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial stesen radio berkenaan, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, penyampai radio terbabit iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani akan diambil keterangan di Bukit Aman pada 11 pagi ini.

Menurutnya, tiga individu lagi yang akan diambil keterangan membabitkan pengurusan stesen radio swasta terbabit.

“Proses rakaman keterangan akan dijalankan oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

“Sehingga pagi ini, sebanyak 44 laporan polis diterima berkaitan isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung kakitangan stesen radio EraFM didakwa mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial.

Razarudin dilaporkan berkata, laporan dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook.

Semakan terhadap video asal yang dimuat naik oleh pemilik stesen radio terbabit sudah dipadamkan dan mereka turut mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui laman rasmi aplikasi Facebook stesen radio itu.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan dan memanggil semua yang terbabit hadir ke ibu pejabat agensi berkenaan bagi memberikan penjelasan penuh.

Berikutan kejadian itu, trio penyampai radio 3 Pagi Era dilaporkan memohon maaf atas video kontroversi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top