am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harga petak bazar Ramadan mencecah ribuan ringgit dan tindakan peniaga sewakan semula tapak menyebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat keputusan mengendalikan sendiri Bazar Ramadan 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan harga petak bazar Ramadan yang mencecah ribuan ringgit sebelum ini.
Katanya, ia menyebabkan peniaga kecil terhimpit dan terpaksa menanggung beban kos yang tinggi.
“Tahun ini, DBKL hanya kenakan sewaan petak RM500 sahaja termasuk cagaran. Jika peniaga mematuhi semua syarat dan peraturan, cagaran RM200 akan dipulangkan. Maksudnya kos bersih hanya RM300.
“Saya jumpa beberapa peniaga, borak dengan mereka. Ada yang kongsi rasa syukur, bahkan ada yang memberitahu bahawa mereka dah balik modal pun. Alhamdulillah!
“Antara kewajipan mereka sebelum diberikan lesen bazar ini, mereka diwajibkan mendapat suntikan typhoid bagi mengelakkan risiko penyebaran bakteria kepada pembeli,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Terdahulu, selepas mesyuarat di Parlimen, Dr Zaliha mengambil kesempatan untuk singgah di Bazar Ramadan Wangsa Maju yang terkenal sebagai bazar terpanjang di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, beliau turut meninjau bagaimana pengurusan bazar dijalankan berikutan tahun ini, pengurusan diurus sepenuhnya oleh DBKL tanpa melalui pihak ketiga.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, berdasarkan hasil risikan yang dilaksanakan, sebelum ini ada peniaga yang menyewa lebih daripada satu petak bazar kendalian pihak ketiga.
Katanya, kemudian, peniaga terbabit mengalibabakan petak itu pada harga lebih tinggi kepada peniaga lain.
“Jadi, untuk tahun ini, DBKL berikan lesen bazar terus kepada peniaga dan satu nama hanya boleh memohon satu petak sahaja.
“Pada masa sama, penama lesen itu perlu berada di petak mereka pada setiap masa kerana jika DBKL buat pemantauan dan mendapati penama lesen tiada di tapak, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Menurutnya, pada tinjauan yang dijalankan, beliau sempat bertanya pandangan pengunjung dan rata-rata memuji pengurusan bazar tahun ini dan mengatakan ia lebih kemas selain harga jualan berpatutan.
“Saya bawa bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pantau harga dan Alhamdulillah, harga jualan berada dalam lingkungan yang wajar.
“Apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan semua pihak. Matlamatnya jelas iaitu untuk memberi peluang yang adil kepada peniaga kecil dan mengelak manipulasi pihak tertentu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



