Lima individu disyaki keldai akaun sindiket Forex sudah ditahan

Lima individu disyaki keldai akaun sindiket Forex sudah ditahan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) nafi tidak menjalankan siasatan terhadap penipuan pelaburan mata wang asing (Forex) sebaliknya sudah menahan lima individu berkaitan kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lima individu disyaki keldai akaun berusia lingkungan 30-an terbabit ditahan pada tahun lalu dan awal tahun ini.

“Pasukan penyiasat sedang mengesan saki-baki dan suspek utama kes itu.

“Siasatan sedang dilengkapkan. Tidak timbul isu bahawa polis tidak menyiasat skim pelaburan berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini JSJK menerima 80 laporan membabitkan kerugian RM24,813,086.47 berkaitan penipuan pelaburan berkenaan.

Ramli berkata, siasatan mendapati skim pelaburan itu bermula sekitar tahun 2019 dengan menjanjikan keuntungan sebanyak tujuh peratus sebulan.

“Pelabur yang berminat dikehendaki memuat turun aplikasi pelaburan yang ditetapkan. Mereka boleh memantau serta melihat prestasi pelaburan berkenaan.

“Masalah mula timbul apabila syarikat itu menukar pelaburan kepada pelaburan kripto tanpa persetujuan pelabur. Pelabur juga hanya dapat melihat paparan keuntungan di aplikasi tanpa boleh mengeluarkan wang itu,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan melakukan semakan sewajarnya sebelum melabur.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 77 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai didalangi rakyat tempatan dengan menggunakan kira-kira 30 syarikat berperanan sebagai ‘local depositor’.

Mangsa mendakwa, syarikat itu berdaftar di Seychelles, Afrika, mencari mangsa melalui ejen dan wakil syarikat dan membuat penerangan secara dalam talian dengan menjanjikan pulangan sebanyak tujuh peratus sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top