nurul_husna@hmetro.com.my
Disebalik ekonomi yang mencabar, dua wanita luar biasa ini bukan sahaja berjaya keluar dari kesempitan hidup, tetapi turut menjadi perintis dalam membentuk masa depan mereka sendiri.
Che Noorfaezah Mat Nasir, 41, atau lebih dikenali sebagai Kak Chah, ibu kepada tujuh orang anak yang menggunakan kemahirannya sebagai seorang tukang urut untuk menyara keluarga.
Berasal dari Kuala Nerus, Terengganu, Che Noorfaezah berada di jurang antara kesusahan dan peluang. Baginya, mencari sesuap nasi bukanlah sesuatu yang mudah.
Manakala, Norlidawati, 39, yang mesra dipanggil Cik Norly dalam kalangan rakan-rakannya, adalah seorang ibu kepada dua anak dengan minat mendalam dalam pembuatan kek.
Bermula hanya sekadar hobi, Norlidawati menjadikannya sebagai peluang perniagaan yang kini semakin berkembang.
Dalam daerah yang sama, Norlidawati pula sibuk membahagikan masa antara membesarkan anak sambil meneruskan minatnya dalam membuat kek. Perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan dari rumahnya adalah sinar harapan buatnya.
Takdir Allah, mereka dipertemukan apabila Norlidawati mendapatkan rawatan daripada Che Noorfaezah untuk kakinya yang terseliuh.
Namun, lebih daripada sekadar sesi rawatan, pertemuan itu membuka ruang untuk mereka berkenalan lebih rapat dan peluang menyertai program mentor yang berjaya mengubah nasib mereka kini.
Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) adalah inisiatif oleh Yayasan PETRONAS bertujuan membantu meningkatkan pendapatan masyarakat yang terpinggir.
Dinamakan sempena perkataan mekar, program ini menyediakan bimbingan dan latihan khas untuk peserta mendalami ilmu perniagaan serta meningkatkan usaha mereka menjayakan perniagaan terbabit.
Bagi Che Noorfaezah dan Norlidawati, program ini bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi tetapi mengajar mereka untuk menjadi lebih berdikari.
Che Noorfaezah berkata pada mulanya, dia tertarik dengan program ini kerana setiap peserta mendapat bantuan makanan bernilai RM80 setiap bulan.
Namun selepas menyertainya dia sangat teruja dengan apa yang dipelajari.
“Saya memanfaatkan setiap panduan dan tunjuk ajar yang diterima. Saya juga meminta bantuan anak saudara di Kuala Lumpur untuk membuat kad perniagaan, membuka akaun Facebook bagi mengiklankan perkhidmatan serta menghasilkan minyak urut tradisional sendiri.
“Saya bertekad untuk berubah. Saya tidak mahu hidup susah lagi,” katanya.
Daripada seorang suri rumah yang pemalu dan kurang keyakinan diri, Che Noorfaezah kini menjadi seorang yang lebih berani, peramah dan mampu berkomunikasi dengan lebih baik.
Dengan sokongan mentor dan bimbingan yang diperoleh melalui program ini juga membuatkannya lebih bersemangat dan semakin bekerja keras. Pelanggannya meningkat mendadak, daripada 17 orang pada bulan pertama kepada 40 orang dalam tempoh yang singkat.
Kini, Che Noorfaezah sudah mempunyai kira-kira 60 pelanggan setiap bulan secara purata.
“Banyak yang saya impikan selama ini berjaya dicapai. Alhamdulillah, saya tidak menyewa lagi dan kini mempunyai rumah sendiri. Rasa amat lega kerana semua hutang sudah langsai.
“Sekarang saya juga sudah memiliki kereta dan baru sahaja lulus lesen memandu,” katanya yang kini merancang untuk membina bilik khas di rumahnya demi keselesaan pelanggannya.
Kagum mendengar cerita dan pengalaman Che Noorfaezah menyertai MEKAR dan kejayaan yang dicapai menerusi program itu, membuatkan Norlidawati turut serta.
“Pada ketika itu, saya sedang sibuk membuat kek di rumah, menerima tempahan dan menjual di pasar.
“Apabila terdapat kekosongan dalam kumpulan kedua program MEKAR, Che Noorfaezah memberi cadangan kepada saya untuk menyertainya,” katanya.
Melalui program MEKAR ini, Norlidawati dapat mempelajari mengenai pengurusan wang dan kepentingan menetapkan sasaran serta matlamat.
Katanya, semua itu menambah keyakinannya untuk mengembangkan lagi perniagaannya dari rumah ke ruang kedai yang sempurna.
“Mentor saya menegaskan bahawa kita tidak akan tahu kebolehan sebenar kita selagi belum mencuba.
“Betul katanya kerana perniagaan saya berkembang pesat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19,” ujarnya.
Dengan perniagaannya yang semakin maju, suami Norlidawati mengambil keputusan berhenti kerja untuk membantunya sepenuh masa.
Anak saudaranya juga turut membantu ketika cuti sekolah bagi memenuhi permintaan yang meningkat terutamanya ketika hari raya.
Norlidawati memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk memasarkan produknya.
Kini, Norlidawati tidak lagi menerima tempahan secara terbuka, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengedarnya, yang mencatat peningkatan jualan setiap bulan.
“Program MEKAR ini melatih kita untuk buat yang terbaik. Kini, kami tahu keupayaan sebenar kami. Ia juga mengajar saya untuk sentiasa berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang ada.
“Lebih menarik, peserta MEKAR juga saling bertukar ilmu dan membina hubungan yang erat antara satu sama lain. Kumpulan WhatsApp mereka masih aktif dan mereka juga sudah menubuhkan persatuan berdaftar yang dikenali sebagai Persatuan Aspirasi Wanita Kuala Nerus.
“Kaum wanita di Kuala Nerus sentiasa mencari peluang untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang perniagaan melalui pelbagai bengkel dan kursus,” katanya.
——————————-
Kisah ini merupakan salah satu daripada 50 cerita yang disampaikan dalam buku kenang-kenangan ke-50 PETRONAS, dihasilkan bersama kartunis tersohor Malaysia, Datuk Lat. Dapatkan naskhah anda secara atas talian di PETRONAS Shop. www.setel.com/PETRONAS- Shop
© New Straits Times Press (M) Bhd




