London: Pengendali Brighton, Fabian Hurzeler mahu pasukannya terus mendaki ke puncak baharu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mereka berusaha menembusi kelompok enam teratas.
Seagulls kini berada dalam prestasi terbaik selepas dibelasah 0-7 oleh Nottingham Forest pada 1 Februari lalu.
Kemenangan dramatik menerusi masa tambahan ke atas Newcastle di Piala FA hujung minggu lalu menjadikan ia kemenangan kelima berturut-turut dalam semua pertandingan buat Brighton.
Hurzeler, 32, yang juga pengendali tetap termuda dalam sejarah EPL, terus memukau dalam musim pertamanya bersama kelab itu.
Brighton yang kini menghuni tangga kelapan liga bakal menerima kunjungan Fulham malam ini, dengan kedua-dua pasukan bersaing merebut slot ke pentas Eropah.
Pengendali kelahiran Jerman itu, yang dua tahun lebih muda daripada penyerang Brighton Danny Welbeck, mahu pasukannya mencontohi kejayaan kelab yang pernah menamatkan musim di tangga keenam pada 2022/23 sekali gus layak ke Liga Europa.
“Kami perlu fokus kepada perjalanan ini dan benar-benar percaya kepadanya,” kata Hurzeler.
“Semalam, saya menerima gambar sebuah gunung. Di gunung, sentiasa ada puncak baharu yang perlu didaki. Begitu juga dengan kami, kami perlu terus mendaki ke puncak baharu.”
Mengulas pertemuan dengan Fulham, Hurzeler menjangkakan saingan sukar.
“Mereka bermain dengan cemerlang musim ini. Mereka sangat kompak sebagai satu pasukan dan memiliki kualiti individu yang baik.”
Dalam perkembangan lain, Brighton menerima suntikan semangat apabila bintang Jepun, Kaoru Mitoma disahkan cergas untuk diturunkan selepas mengalami kekejangan ketika aksi di St James’ Park.
© New Straits Times Press (M) Bhd




