najiy.jefri@hmetro.com.my
SETIAP detik yang dilaluinya bukan sekadar menghitung masa, tetapi membawa 1,001 kisah yang menjadi kenangan sepanjang hayat.
Begitu yang dirasai pelakon, Elisya Sandha apabila pengalaman menanti cahaya mata kedua nyata berbeza daripada kehamilan pertama.
Jika dulu setiap langkah terasa mudah, namun kali ini perjalanan itu disulami cabaran yang menuntut kesabaran dan kekuatan.
Walaupun ujian datang silih berganti, wanita berusia 26 tahun itu tetap tabah mengharunginya demi memastikan anak dalam kandungan membesar dengan sihat dan sempurna.
Saat menatap wajah anak sulung, Bunga Elhaq yang semakin membesar, Elisya mengakui kekuatan seorang ibu datang daripada cinta yang tidak bertepi.
Keterujaan menanti kehadiran anak kedua seakan-akan menyuntik semangat untuk terus bertahan, meskipun tubuhnya sering kali kalah pada alahan berpanjangan.
Namun, setiap pengorbanan yang dilalui menjadi bukti betapa kasih ibu tidak berbelah bahagi.
Berkongsi mengenai kondisi kesihatan, Elisya berkata, dia mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan kali ini hingga menjejaskan aktiviti hariannya.
Antara kebimbangan utama yang terlintas di fikirannya adalah kemampuan menunaikan puasa kerana pengalaman terdahulu membuktikan dia mampu berpuasa penuh ketika mengandungkan Bunga.
“Sebenarnya ketika saya mengandungkan Bunga sebelum ini, saya dapat berpuasa penuh tanpa tinggal satu hari pun. Itu sasaran saya.
“Tapi, kali ini jika lihat pada keadaan, saya rasa tak mampu nak puasa penuh, tapi saya akan tetap cuba,” katanya.
Selain alahan, Elisya turut berdepan masalah bengkak kaki dan mudah penat sehingga membuatkan pergerakan hariannya terbatas.
Katanya, berjalan dalam jarak dekat sekali pun sudah membuatkan dirinya mengah dan suaminya banyak menasihatkan supaya dia banyak berehat.
Memasuki usia kandungan enam bulan, Elisya memilih untuk merahsiakan jantina anak keduanya yang dijangka dilahirkan pada Mei depan.
Meskipun ramai meneka, pelakon itu tetap berpegang pada keputusan untuk hanya mendedahkan perkara itu pada majlis khas yang diadakan selepas Aidilfitri.
Menurut Elisya atau nama penuhnya Nur Elisya Sandha Mohd Faizal hanya dia dan suami, Uzair Haqimy Azman yang mengetahui jantina bayi keduanya.
Bagaimanapun, Elisya tidak menafikan ibu mentuanya, Sheila Rusly pernah meneka bakal menimang cucu lelaki berdasarkan bentuk perutnya yang berbeza berbanding kehamilan pertama.
“Setakat ini, hanya saya dan suami yang tahu. Mak mentua pun belum tahu sebab kami nak buat kejutan waktu majlis ‘gender reveal’ nanti.
“Masa Bunga dulu, ibu mentua pernah teka anak perempuan dan tekaan itu betul. Apa pun, saya berharap semua mendoakan urusan kelahiran ini dipermudahkan,” katanya.
Walaupun sarat hamil, Elisya memberitahu dia tetap turun ke dapur menyediakan juadah berbuka puasa.
Elisya berkata, Uzair atau mesra dengan panggilan Haq seorang yang tidak cerewet dan menggemari lauk telur itik masak lemak pedas.
“Bersyukur dikurniakan ibu mentua yang serba-serbi hebat di dapur. Saya kini mampu menyediakan pelbagai hidangan untuk seisi keluarga.
“Suami suka sangat telur itik masak lemak yang pedas. Jadi, beberapa kali seminggu saya sediakan lauk kegemarannya. Sahur pula kami makan saja lauk lebih berbuka.
“Jangan membazir, cuma sekarang saya kena makan nasi masa sahur untuk tenaga. Saya pun pelik sebab kali ini saya makan agak banyak. Selepas nasi, saya boleh makan roti pula,” katanya yang berkahwin dengan Uzair pada Ogos 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd




