Pelawak dan pengacara sensasi, Shuk Sahar tetap mengambil pendirian mengunci mulut dan tidak akan mengulas sebarang perkara melibatkan rumah tangganya bersama isteri, Fara Salleh.
Bekas penyampai radio Hot FM ini juga tidak mahu memberi komen lanjut mengenai dakwaan Fara yang sudah memfailkan cerai kerana faham dengan keadaan isterinya yang sedang berbadan dua selain tidak mahu memburukkan lagi kenyataan.
“Saya tetap dengan pendirian tidak mahu berkongsi perihal rumah tangga. Saya juga tak ada apa-apa komen mengenai isteri fail cerai.
“Saya serahkan semua pada Fara sebab sekarang dia sedang mengandung. Saya hormat perkara itu, jadi biarlah saya mencari rezeki di Singapura,” katanya.
Shuk berkongsi perkara terbabit ketika ditemui pada karnival beli belah Celebfest Ramadan yang berlangsung di Suntec, Singapura.
Menurut Shuk, tumpuannya buat masa ini adalah terhadap perniagaan yang sedang dijalankan di Singapura dan dia menyerahkan segala perkara yang terjadi kepada Allah SWT.
“Saya berada di Singapura memang niat nak bekerja dan saya serahkan segalanya kepada Allah.
“Saya cuba cari dia di hospital tapi nombor saya disekat di seluruh platform, jadi sekarang tak dapat nak berkomunikasi dengan dia, kali terakhir dua minggu lepas sebelum masuk bulan Ramadan” katanya.
Dalam pada itu, Shuk turut bersumpah dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isteri membebankan sebaliknya rakan-rakan adalah punca rezeki.
“Saya bersumpah di bulan Ramadan ini yang saya tak pernah keluarkan kenyataan isteri beban, rakan-rakan punca rezeki. Malah saya tak tahu perkara itu keluar daripada mulut siapa,” jelas Shuk.
Terdahulu, isteri Shuk mendedahkan dia berang terhadap suaminya serta mendakwa pelawak itu tidak bertanggungjawab.
Dakwa Fara, Shuk sentiasa melebihkan rakan-rakan berbanding memikirkan keadaan dirinya yang sedang hamil.
Sekadar info, Shuk mendirikan rumah tangga dengan Fara pada November 2023.
Shuk sebelum ini pernah berkahwin dengan
Rossa Sera namun bercerai pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 9, dan Nur Assyifatu Aimi, 6 tahun.




